Tuesday, April 15, 2008

Ekonomi Islam


BAB I


PENGENALAN


1.1 PENGENALAN

Kebangkitan semula Islam telah mendorong negara-negara Islam, terutama para ilmuwannya, berfikir mengkaji dan mencari jalan untuk menggantikan sistem kehidupan ke arah sistem yang selari dengan tuntutan agama Islam. Kebangkitan semula Islam bukanlah gara-gara politik, malah ia menggambarkan satu perubahan penting dalam dunia Islam sekarang (John L. Esposit 1922). Ia merupakan satu usaha untuk keluar daripada kebudayaan yang berlandaskan peradaban barat yang berakar umbi dalam masyarakat Islam, ke arah melahirkan kembali Islam sebagai asas sistem sosial, kebudayaan dan peradaban baru untuk masa hadapan (Chandra Muzaffar 1987).

Tamadun barat berasaskan kepada prinsip pemisahan antara agama dengan sistem kehidupan. Manusia diandaikan sebagai berkeupayaan diri dan boleh bertindak secara rasional. Oleh itu persoalan sosial, ekonomi, politik dan teknologi tamadun manusia dipegang teguh dengan mengetepikan langsung Tuhan dan panduan-Nya. Tuhan boleh disembah dalam kehidupan peribadi seseorang, namun segala hal ehwal masyarakat dan ekonomi hendaklah dilaksanakan mengikut budi bicara manusia itu sendiri. Model ekonomi dan masyarakat yang telah dibina dalam tempoh lebih dua ratus tahun yang lalu sudah begitu mendalam dan sebati dengan tradisi sekularisme barat (Syed Muhammad Naquib al Attas 1978).



Walaupun sejak lebih dari tiga dekad yang lalu, umat Islam telah menyaksikan kemunculan lebih 40 buah negara Islam yang merdeka, namun sistem ekonomi-politik yang terdapat di negara-negara itu masih terus berasaskan model barat. Kontradiksi inilah yang telah cuba dicabar oleh kebangkitan semula Islam. Kebangkitan ini adalah merupakan usaha untuk membina semula masyarakat dan ekonomi umat, berpandukan kepada sumber-sumber budaya agamanya sendiri yang amat kaya tetapi terbiar (Khurshid Ahmad 1980).

Merujuk kepada sistem kewangan Islam, ia adalah satu bidang yang amat menarik untuk diperkatakan. Perlaksanaan sistem kewangan di Malaysia, walaupun dalam usia yang masih muda berbanding dengan perlaksanaan di negara lain, telah menampakkan kejayan yang cemerlang sehingga dikagumi oleh negara-negara di luar. Sistem kewangan Islam di Malaysia telah diakui oleh negara-negara Islam lain sebagai model untuk masa hadapan (Ab. Mumin 1999).

Konsep dan perlaksanaan sistem kewangan Islam di Malaysia adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan umat Islam terhadap perbankan dan kewangan menurut lunas-lunas Syariah Islam secara komprehensif, yang beroperasi seiringan dengan sistem kewangan konvensional. Ia dilakukan secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat untuk menghindari dari menemui kegagalan pada akhirnya (Ab. Mumin 1999).

1.2 PERSOALAN KAJIAN

Dalam sistem kewangan Islam, tujuan utamanya ialah berlandaskan atas syariat Allah dan bergerak kearah mencapai perkara-perkara seperti mengumpulkan modal yang mencukupi untuk pengeluaran, penggunaan dan penukaran, mengagihkan modal kepada sektor-sektor yang benar-benar memerlukan dan boleh membawa faedah kepada masyarakat keseluruhannya dan menentukan kestabilan harga. Di samping itu juga, ia dapat menentukan keadaan ekonomi yang makmur dan bersih dari segala jenis kesempitan dharuri di peringkat individu dan mewujudkan keadilan dan ihsan.
Bagi mencapai tujuan tersebut, sistem kewangan Islam haruslah berlandaskan ciri-ciri seperti sifat tolong-menolong antara satu sama lain dan bukan persaingan yang sengit, kegiatan yang dilakukan mestilah disertai dengan persetujuan bersama, kegiatannya hendaklah disertai dengan sifat yang digalakkan oleh Islam seperti qana’ah (kesederhanaan), ikhlas, benar, bertimbang-rasa dan lain-lain. Selain itu, sistem kewangan Islam mesti bebas dari segala larangan termasuk riba, gharar, iktikar, penindasan, penipuan, pembaziran dan lain-lain.

Islam tidak dapat menerima sistem bank tradisional sebagai satu sistem banking yang sihat kerana ia masih bertentangan dengan Syariah, konsep ekonomi Islam dan sistem pembahagian harta pelaburan dalam Islam. Dalam dekad enam puluhan, timbullah idea penubuhan “Bank Tanpa Riba” atau dengan lain perkataan “Bank Islam” sebagai satu langkah utama dalam usaha pembangunan semula ekonomi Islam menurut ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Bank Islam wujud berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam dan membawa peranan yang berpengaruh sebagai institusi kewangan yang mewujudkan alternatif lain pengganti riba dan sebagai institusi yang membantu tercapainya tujuan sosio-ekonomi, juga yang memberikan ciri khas sosial, positif, pelaburan dan pembangunan yang berasaskan kepada pedoman Islam.

Di Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad ditubuhkan pada tahun 1983 di bawah peruntukan “Akta Bank Islam 1981”. Matlamat utama penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad ialah berusaha sedaya upaya menjalankan operasinya sebagai bank perdagangan berlandaskan kepada hukum-hukum Syarak. Bank ini juga berusaha untuk menyediakan kemudahan dan khidmat bank kepada semua umat Islam dan rakyat negara ini, dengan mencapai keteguhan dan keupayaan berkembang maju dari semasa ke semasa.

Ekoran daripada senario itulah timbulnya beberapa persoalan kajian yang mendorong penulis untuk membuat kajian tentang sistem kewangan Islam ini. Diantara persoalan-persoalannya ialah:
i. Adakah sistem kewangan Islam ini benar-benar menghapuskan sistem riba yang mana ianya telah diharamkan oleh ajaran Islam itu sendiri kerana sistem tersebut bukan sahaja memberikan ketidakadilan, malah ianya menindas dan menyusahkan orang ramai.

ii. Adakah prinsip-prinsip yang diamalkan dalam sistem kewangan Islam ini lebih adil dan menjamin keselesaan serta menyediakan kemudahan kepada umat sejagat dengan pengamalannya secara amali dan praktikal.

iii. Untuk memastikan sama ada Bank Islam di Malaysia (BIMB) telah mengamalkan sitem kewangan Islam ini secara menyeluruh dalam pengamalannya dari segi operasi, prinsip dan sebagainya di samping memastikan sama ada ianya menepati apa yang telah digariskan oleh Syariat Islam.

1.3 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian adalah :

i. Untuk melihat teori-teori berkaitan sistem kewangan Islam.

ii. Melihat amalan sistem kewangan oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

1.4 SKOP KAJIAN

Kajian ini lebih bertumpu dalam memperkenalkan sistem kewangan Islam itu sendiri. Penekanan kajian akan dibuat berdasarkan konsep sistem kewangan Islam. Disamping itu, menyentuh konsep dan sistem riba. Penulis juga akan membincangkan prinsip-prinsip syariah dalam pembiayaan kewangan Islam.

Memandangkan sistem kewangan Islam merupakan satu topik yang agak luas untuk dibincangkan, dalam kajian ini penulis hanya menumpukan kepada prinsip-prinsip asas dalam kewangan Islam dan bagaimana pengamalannya di Bank Islam malaysia Berhad (BIMB).

1.5 METODOLOGI KAJIAN

Kaedah yang digunakan dalam membuat kajian ini adalah sepenuhnya bersifat kajian perpustakaan. Ia bertujuan mendapatkan maklumat secara teori dan konsep berhubung dengan konsep-konsep asas sistem kewangan Islam. Bahan-bahan yang dirujuk bolehlah diklasifikasikan seperti berikut :

1) Al- Quran dan tafsirannya.
2) Al- Hadith dan huraiannya.
3) Teks mengenai sistem kewangan Islam.
4) Jurnal-jurnal terbaru dalam bidang sistem kewangan Islam.
5) Kertas-kertas seminar mengenai sistem kewangan Islam.
6) Buku-buku kewangan moden.
7) Buku-buku kewangan Islam.

Tumpuan mendapatkan bahan-bahan rujukan di atas ialah :

a. Perpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia.
b. Perpustakaan Utama, Universiti Malaya.
c. Perpustakaan al- Mukhtar Kolej Sultan Zainal Abidin, Terengganu.
d. Perpustakaan Awam Terengganu.

1.6 LATARBELAKANG PENUBUHAN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD (BIMB)

Sejak beberapa tahun yang lalu banyak pihak telah menyuarakan hasrat supaya bank Islam ditubuhkan di negara ini. Usaha ini lebih nyata apabila ‘Kongres Ekonomi Bumiputra 1980’ telah meluluskan usul meminta kerajaan menubuhkan sebuah bank Islam. Bank ini akan beroperasi mengumpulkan dan melaburkan wang umat Islam. Usaha untuk menubuhkan bank Islam telah dibuat secara berasingan sejak tahun 1980 oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH), PERKIM dan orang perorangan. Hasil daripada urusan ini, kerajaan telah menerima cadangan daripada LUTH supaya langkah bagi menubuhkan bank Islam diselaraskan pada peringkat kebangsaan.

Berikutan itu, pada 30 Julai 1981, kerajaan telah melantik “Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam” yang dipengerusikan oleh Y.M Raja Tan Sri Mohar bin Raja Badiozaman dan LUTH dilantik sebagai urusetianya. Oleh itu pada 5 Julai 1982, Jawatankuasa ini telah mengemukakan laporannya. Antara cadangan-cadangan Jawatankuasa tersebut termasuklah perkara-perkara berikut :-

i. Sebuah bank Islam yang menjalankan operasinya mengikut lunas-lunas Syarak hendaklah ditubuhkan;

ii. Bank Islam hendaklah diperbadankan sebagai sebuah syarikat di bawah Akta Syarikat 1965;
iii. Oleh kerana Akta Bank 1973 tidak sesuai bagi operasi bank Islam, maka satu peruntukkan undang-undang yang dikenali sebagai Akta Bank Islam 1982 hendaklah diadakan untuk melesen dan mengawasi bank Islam; dan pengawasan bank Islam di bawah Akta ini hendaklah dilakukan oleh Bank Negara Malaysia; dan

iv. Bank Islam hendaklah menubuhkan “Majlis Pengawasan Syariah” untuk menentukan bahawa ia menjalankan urusniaga mengikut lunas-lunas hukum Syarak (Bank Islam 1996).

Ekoran dari itu tertubuhlah Bank Islam yang pertama di negara ini, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), telah memeulakan operasinya pada 1 Julai 1983 dengan sebuah cawangan di Kuala Lumpur. Pada akhir tahun 1993, Bank Islam telah mempunyai rangkaian 52 buah cawangan di seluruh negara. Bank tersebut telah disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 17 Januarai 1992. Seiring dengan matlamatnya, semua kegiatan bank tersebut dijalankan berlandaskan lunas-lunas Syariah (http://www.bankislam.com.my).

1.7 KAJIAN LEPAS

Menurut Sh. Muhammad Ashraf (1974), kebanyakan ulama’ fiqh dan ulama’ tafsir dahulu membahaskan persoalan riba hanya dari sudut hukumnya sahaja dan tiada seorang pun dari mereka yang cuba mengupas isu ini dari sudut ekonomi. Fakhr al-Razi merupakan satu-satunya ulama’ tafsir yang membuat analisis persoalan riba dari sudut ekonomi di samping sudut hukumnya. Namun analisisnya ini tidaklah selengkap analisis ekonomi moden yang melibatkan teori modal dan peranannya dalam ekonomi (Ziaul Haque 1995). Keadaan ini terjadi kerana persoalan riba dalam zaman pra kapitalis lebih merupakan fenomena hukum sejarah berbanding dengan fenomena ekonomi (Jomo K.S. 1994).

Menurut Siddiqi (1978), pengharaman riba atau bunga dalam sistem kewangan boleh dianggapkan sebagai satu perkara yang mustahil dilakukan pada suatu ketika dahulu walaupun dikalangan cerdik pandai Islam sendiri. Pengharaman riba yang merupakan satu ciri terpenting dalam pencorakan semula sistem kewangan dan perbankan kearah sistem tanda bunga, telah menjadi satu cabaran besar kepada ahli-ahli ekonomi Islam sejak awal-awal kebangkitan semula Islam lagi. Ini kerana bunga memainkan peranan yang amat penting dalam ekonomi mikro mahupun ekonomi makro. Beberapa orang sarjana Islam telah tampil menjalankan kajian-kajian perintis di dalam bidang ini dan kini telah pun terdapat berjilid-jilid hasil tulisan mereka yang semakin bertambah dari segi kuantiti dan kualitinya. Perbahasan mereka bukan lagi tertumpu kepada soal-soal teori sahaja malah menjangkau aspek-aspek pelaksanaan yang melibatkan teknologi terkini dalam urusan kewangan Islam supaya setanding dengan produk-produk kewangan konvensional.

Rujukan terawal mengenai penyusunan semula perbankan ke arah tanpa bunga yang berasaskan perkongsian untung, boleh dilihat dalam tulisan Quresi, Naiem Siddiqi dan Mahmud Ahmad sekitar akhir tahun empat puluhan. Ini diikuti pula dengan pendedahan yang lebih terperinci oleh Mawdudi pada tahun 1950. Muhammad Uzair melalui buku kecilnya yang bertajuk “An Outlines of Interest Banking” lebih menonjol dalam perkara ini berbanding dengan lain-lain penulis pada masa itu (Muhammad Uzair 1981). Ini kerana beliau bukan sahaja seorang ahli profesional tetapi ulasan dan cadangannya dalam buku tersebut lebih meyakinkan dan realistik (Siddiqi 1981).

Model perbankan tanpa bunga yang dibincang secara lebih matang dan komprehensif muncul di sekitar tahun enam puluhan, hasil tulisan beberapa orang tokoh seperti ‘Abd Allah al-‘Arabi, Siddiqi, Muhammad Baqir al-Sadr dan al-Najjar. Seterusya lebih banyak lagi sumbangan karya yang muncul pada awal tahun tujuh puluhan termasuklah kajian yang agak komprehensif oleh Gharib al-Jammal, Mustafa al-Hamsyari dan sami Humud di samping beberapa kertas kerja yang dibentangkan dalam Persidangan Ekonomi Islam di Mekah (Siddiqi 1981).

Menurut Waqar Masood Khan (1985) mengatakan sistem kewangan Islam yang hendak dibangunkan itu tidaklah boleh diasaskan semata-mata pada pembiayaan ekuiti sebagaimana yang dicadangkan oleh setengah-setengah tokoh ekonomi Islam tanpa mengambil kira elemen pembiayaan hutang. Tan Sri Jaafar Hussein (1990), menyelar golongan ahli eknomi Islam yang mengemukakan teori mereka sejak tahun 1960-an, yang mengatakan urusan perbankan dan kewangan Islam mesti dibina atas asas kontrak-kontrak Mudarabah dan Musyarakah (pembiayaan ekuiti) sahaja dengan menolak sama sekali pembiayaan hutang seperti kontrak-kontrak pertukaran yang melibatkan pembiayaan bertangguh dengan menganggapkan kontrak-kontrak ini tidak islamic. Beliau seterusnya mengatakan teori ini adalah semata-mata berasaskan pemikiran golongan tersebut tanpa melihat kepada hukum sebenar dan realiti sistem kewangan semasa. Hakikat ini terbukti dengan merujuk kepada ahli-ahli ekonomi Islam itu sendiri yang gagal tampil ke hadapan untuk menubuhkan bank dan institusi kewangan Islam yang berfungsi sepenuhnya atas teori mereka, walaupun mereka telah menulis berpuluh-puluh buah buku dan kertas kerja mengenainya dan berpegang teguh kepada teori tersebut sejak tahun 1960-an lagi. Sebaliknya sejak tahun 1975 terdapat lebih daripada lima puluh buah bank dan institusi kewangan Islam yang mengamalkan kedua-dua jenis pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang, telah ditubuhkan di seluruh dunia dan terus berfungsi hingga ke hari ini.

Menurut Nor Mohamed Yakcop (1996), dalam bukunya yang bertajuk Amalan dan Prospek Sistem Kewangan di Malaysia mengatakan sejak dekad 1970-an kewangan dan perbankan Islam telah menjelma sebagai satu realiti baru di arena kewangan antarabangsa. Malaysia tidak terkecuali daripada fenomena ini. Perlaksanaan sistem Kewangan Islam di Malaysia adalah satu isu strategik yang penting dan menjadi intipati kepada kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Perlaksanaannya hendaklah dilakukan dalam rangka kuasa politik yang dibenarkan dan sebagaimana yang tercatit dalam perlembagaan. Peruntukan undang-undang mengenai kewangan dan perbankan Islam dan peraturan pengawalannya telah digubal beriringan dengan peruntukan bagi sistem kewangan konvensional. Asas undang-undang bagi memperkenalkan produk perbankan dan kewangan berdasarkan prinsip Islam ialah Akta Perbankan Islam, 1983 dan Akta Pelaburan Kerajaan, 1983. Akta Perbankan Islam memberi kuasa kepada bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyelia dan mengawal bank-bank Islam seperti nama bank lain yang berlesen (Lee Hock Lock 1967).

Mushtak Parker (1993), walaupun sistem kewangan Islam baru bertapak lebih sedekad yang lalu di Malaysia, namun negara Malaysia telah dilihat sebagai pendahulu kepada negara-negara Islam lain dalam memajukan sistem kewangan Islam supaya setanding dengan sistem kewangan konvensional. Bermula dengan sebuah bank Islam pada tahun 1983, Malaysia terus melangkah mencipta beberapa rekod dalam membangunkan sistem ini. Pada tahun yang sama, Malaysia adalah negara yang pertama mengeluarkan bon kerajaan secara Islam. Berikutnya pada tahun 1994, Malaysia merupakan negara pertama memperkenalkan sistem pasaran wang antara bank secara Islam, Malaysia juga menjadi negara pertama membenarkan syarikat-syarikat broker saham konvensional menawarkan juga skim pembrokeran secara Islam di samping mempunyai syarikat broker Islamnya tersendiri. Kesungguhan dan komitmen Kerajaan Malaysia mewujudkan sistem kewangan dan perbankan Islam yang moden, saintifik dan berkesan tidak harus diragui. Ini kerana di Malaysia, sistem perbankan Islam merupakan “isu perbankan” tetapi sebaliknya di negara-negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Sudan dan Iran, ia menjadi satu “isu politik yang sensitif”.

Menurut Bank Negara Malaysia (1994), perbankan Islam yang mula dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia pada tahun 1983, menjadikan Malaysia satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan sistem perbankan Islam yang beroperasi selari dengan sistem perbankan konvensional. Sumbangan terbesar Malaysia dalam bidang perbankan Islam ialah memperkenalkan kepada dunia satu cara perlaksanaan sistem perbankan Islam yang unik, iaitu dual system of banking atau lebih dikenali dengan dual System. Satu aspek menarik dalam model Malaysia ini ialah prasarana perbankan yang sama, digunakan bagi menawarkan dua bentuk kemudahan perbankan iaitu menawarkan kemudahan perbankan Islam disamping menawarkan kemudahan perbankan konvensional.

Al-Omar dan Abdel-Haq (1996), dengan wujudnya sistem pasaran wang antara bank secara Islam mulai 3 Januari 1994, ketiga-tiga keperluan penting yang diperlukan untuk melengkapkan satu sistem kewangan Islam yang mampan dan berdaya maju di Malaysia telahpun tercapai. Dengan ini Malaysia merupakan negara pertama di kalangan negara-negara sistem ekonomi bebas yang melaksanakan sistem perbankan Islam yang sempurna. Model perlaksanaan sistem perbankan Islam di Malaysia telah mendapat perhatian dan diiktiraf oleh sebahagian besar negara-negara Islam dan mereka berhasrat untuk mempelajari sistem perbankan Malaysia untuk dijadikan model kepada sistem yang ingin mereka laksanakan di negara mereka. Sesungguhnya dengan persekitaran ekonomi yang baik, dengan insentif-insentif iskalnya yang menarik, ditambah pula dengan kestabilan politik yang utuh, menjadi faktor kepada kejayaan yang lebih pantas perbankan Islam di Malaysia.

Abdul Halim Ismail (1992), sesetengah tokoh ekonomi Islam menyarankan sistem perkongsian untung rugi sebagai asas kepada perbankan dan kewangan Islam. Kebanyakkan kajian dan penulisan awal mereka banyak menumpukan kepada asas-asas ini iaitu pembiayaan ekuiti tanpa melihat dengan serius kepada pembiayaan hutang dalam operasi kewangan dan perbankan Islam. Pendapat mereka ini lebih cenderung kepada pembiayaan ekuiti berbanding dengan pembiayaan hutang sedangkan Islam tidak pernah kedua-dua pembiayaan itu dilaksanakan dalam operasi perbankan.

Wan Ismail Wan Yusof (1996), dalam bukunya “kaedah pembiayaan secara Islam: Satu analisis” berpendapat di bawah sistem kewangan Islam, keperluan pembiayaan ekuiti dapat dipenuhi dalam bentuk kontrak perkongsian untung (Profit-sharing Contract atau ‘Uqud al-Isytirak). Dua kontrak utama bagi kategori ini ialah al-Musyarakah dan al-Mudarabah. Bagi pembiayaan hutang pula, empat konsep utama digunakan iaitu al-Bay’ bi-Thaman ‘Ajil, al-Murabahah, al-Ijarah dan qard al-Hasan. Dengan kata lain, pembiayaan ekuiti boleh dikesan melalui kontrak-kontrak perkongsian untung manakala pembiayaan hutang melalui kontrak-kontrak pertukaran bertangguh. Sesungguhnya inilah asas bagi membangun dan memajukan sistem perbankan dan kewangan Islam.

Kesimpulannya dari kajian lepas yang disampaikan ini, perbezaan dengan penulisan yang akan dibuat adalah kerana penulisan ini akan melihat corak sistem kewangan Islam dan bagaimana ia dilaksanakan. Tidak seperti yang dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji yang lepas dimana kajian yang dibuat adalah terlalu luas dan melibatkan pemerintah, perundangan negara dan sebagainya. Kajian ini cuma ingin melihat konsep-konsep asas kewangan Islam dan bagaimana perlaksanaannya yang melibatkan hanya satu institusi kewangan Islam yang terdapat di negara ini iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).








BAB II


SISTEM KEWANGAN ISLAM SERTA PENGENALAN KEPADA SISTEM RIBA


2.1 PENGENALAN

Dalam bahagian ini akan diperbincangkan mengenai sistem kewangan Islam dan pengenalan kepada sistem riba. Melalui pemerhatian terhadap sistem kewangan Islam, unsur-unsur yang terdapat dalam kewangan Islam dan bagaimana Islam memandang konsep riba dalam kontrak jualbeli dan konsep hutang. Semuanya ini adalah untuk meninjau mengenai sistem kewangan Islam sebagai satu sistem yang boleh menguruskan kewangan dunia dan akhirat.

2.2 KONSEP SISTEM KEWANGAN ISLAM

2.2.1 Definisi Kewangan

Perkataan kewangan (Finance) secara tidak langsung muncul daripada perkataan Latin, “finis”. Ia didefinisikan sebagai pengeluaran, pengagihan dan pembelian tuntutan-tuntutan ekuiti dan tanggungan (lialibility) yang dikeluarkan bagi tujuan memperolehi aset-aset yang menghasilkan perolehan (Ray G. Jones, Jr. Dan Dean Dudley 1978). Webster’s Dictionary mengatakan kewangan itu sebagai satu sistem yang mengandungi aliran pusingan wang, memberikan kredit, membuat pelaburan dan membekalkan kemudahan-kemudahan bank. The Oxford English Dictionary memberikan pelbagai definisi tentang kewangan yang rata-rata kesemua definisi itu berkaitan dengan wang. Dalam pengertiannya yang luas, kewangan adalah berkaitan dengan wang dan secara mudah definisi kewangan ialah penyediaan peralatan bagi
pembayaran (Encyclopedia Dictionary of Business Finance 1960). Ada yang mengatakan kewangan itu sebagai sains bagi menguruskan wang (George G. Kaufman 1980). Munn’s Encyclopedia pula mengatakan kewangan itu mempunyai tiga makna (Gleen G. Munn 1973) :

1. Mendapatkan wang yang diperlukan bagi menyusun, penyusunan semula atau membesarkan lagi sesuatu perusahaan sama ada melalui penjualan saham, bon, nota-nota dan sebagainya.

2. Dalam pengertiannya yang komprehensif ia merupakan satu istilah umum tentang teori dan amalan kredit kewangan, perbankan dan operasi-operasi promosi. Ia termasuklah wang, kredit, perbankan, sekuriti, pelaburan, spekulasi, pertukaran asing dan sebagainya.

3. Pada asasnya istilah kewangan ini digunakan bagi mendapatkan wang melalui cukai atau pengeluaran bon dan pentadbiran hasil mahsul dan perbelanjaan kerajaan.

Sesetengah penulis mengatakan kewangan itu adalah berkaitan dengan prisip-prinsip, institusi-institusi, instrumen dan prosedur yang terlibat dengan semua jenis pembayaran dalam sesebuah ekonomi. Pembayaran ini termasuklah bagi semua barangan dan perkhidmatan yang dibeli sama ada secara tunai ataupun kredit yang akan dibayar kemudian nanti (Carl A. Dauten dan Merlet T. Welshans 1970). Ia mempunyai dua dimensi penting iaitu pulangan dan risiko kerugian. Kedua-dua ini mempunyai pertalian yang amat rapat (Kaufman 1980).

Kewangan juga dikatakan mempunyai fungsi berikut (Dauten dan Merlet T. Welshans 1970) :

i. Mencipta wang
ii. Pemindahan wang
iii. Pengumpulan tabungan dalam institusi kewangan.
iv. Meminjam dan melaburkan wang.
v. Memasarkan tuntutan-tuntutan kekayaan yang timbul daripada proses meminjam dan melabur.
vi. Lain-lain aktiviti yang memudahkan proses meminjam dan melabur.

2.2.2 Sistem Kewangan Islam

Bagi memahami gambaran sistem Kewangan Islam dengan lebih jelas, satu fakta yang perlu dibincangkan iaitu mengenai tentang keperluan kepada pembiayaan (financing needs) oleh setiap unit ekonomi bagi menjalankan aktiviti ekonomi masing-masing (Al-Syarbini 1958).Dalam mana-mana masyarakat pun sama ada masyarakat Islam atau tidak, sejak zaman jahiliah hinggalah ke zaman Islam, umumnya kehendak kepada pembiayaan atau modal dipenuhi melalui cara sama ada melalui modal sendiri ataupun melalui modal pihak lain. Kebiasaannya sesuatu projek itu jarang dibiayai oleh modal sendiri sebaliknya seboleh yang mungkin akan diperolehi daripada pihk-pihak lain. Terdapat dua cara sesuatu unit ekonomi memperolehi pembiayaan, iaitu melalui pembiayaan ekuiti (equity financing) dan pembiayaan hutang (debt financing).

Sebelum kedatangan Islam orang Arab Jahiliah telah melakukan amalan pembiayaan bagi memenuhi tuntutan keperluan kepada modal. Masyarakat Arab Jahiliah telah menggunakan kedua-dua bentuk pembiayaan iaitu pembiayan ekuiti dan pembiayaan hutang. Pembiayaan ekuiti dilakukan melalui instrumen kontrak al-Mudarabah iaitu kontrak perkongsian untung secara amanah dan kontrak al-Musyarakah iaitu perkongsian untung secara usaha sama. Kedua-dua instrumen ini dikekalkan setelah kedatangan Islam. Adapun pembiayaan hutang, Islam hanya mengekalkan instrumen kontrak-kontrak pertukaran bertangguh seperti kontrak jualan harga tertangguh (al-Bay’bi-Thaman ‘Ajil), jualan dengan tambahan untung (al-Bay’al-Murabahah), kontrak sewaan (al-Ijarah), jualan Salam (Bay’al-Salam), jualan tempahan (Bay’al-Istisna’) dan mengharamkan instrumen pinjaman secara riba (Al-Fanjari 1981).

Sesetengah penulis melihat sistem kewangan Islam itu dari perspektif yang berbeza. Antaranya ada yang menganggapkan bahawa sistem kewangan itu sebagai himpunan kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan yang berkenaan dengan hasil mahsul (sumber-sumber) sesebuah kerajaan dan cara-cara memungutnya serta membuat perbelanjaan (Dr. Sa’id Sa’d martan 1986). Biasanya golongan ini menyenaraikan sumber-sumber pihak berkuasa Islam dalam bentuk zakat, harta rampasan (al-Ghanimah), al-Fay’, al-Jizyah, al-Kharaj, al-‘Usyur dan beberapa bentuk cukai (al-Dara’ib) serta punca-punca lain (Dr. ‘Awf Mahmud al-Kafrawi 1989).

Dalam perspektif yang lain pula sistem kewangan Islam (Nizam al-Mal al-Islam) itu dilihat sebagai sebahagian daripada keseluruhan sistem ekonomi Islam (Al-Sadr 1982). Ia sebenarnya merupakan jelmaan daripada urusniaga-urusniaga kewangan (financial transactions) yang dilakukan dalam sistem ekonomi Islam. Dengan kata lain sistem kewangan Islam itu meliputi aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kewangan (al-Tasarrufat al-Maliyah) dalam semua sektor ekonomi Islam (Al-Mauwu’ah 1986).

2.2.3 Prinsip-Prinsip Sistem Kewangan Islam

Sistem kewangan Islam dibangunkan atas prinsip-prinsip berikut (Ahmad Majdhub Ahmad 1989).

i. Menghindari daripada aktiviti-aktiviti yang terlibat dengan riba dalam semua urusan dan ini memberi implikasi bahawa:

a. Aktiviti-aktiviti pelaburan hendaklah berasaskan perkongsian untung rugi.

b. Tidak dibenar langsung mengambil kira sebarang bentuk faedah riba dalam mempertimbangkan kes-kes hutang (Muhammad Aslam Hanaf 1995).
ii. Semua aktiviti pelaburan mestilah mengikut lunas-lunas dan prosedur yang telah digariskan dalam kontrak mu’amalah seperti kontrak Bay’, al-Ijarah, Rahn, wakalah, Ju’alah, Wadi’ah, Hiwalah,… dan seumpamanya (al-Jarhi 1981).

iii. Berasaskan penyertaan dalam proses pengeluaran bukannya perniagaan secara hutang . Ini bererti bank-bank Islam menyertai sama dalam aktiviti-aktiviti pengeluaran sama ada sebagai perlaksana projek ataupun menjadi rakan kongsi dalam projek-projek tersebut.

2.2.4 Unsur-Unsur Dalam Sistem Kewangan Islam

Sesuatu dalam sistem kewangan Islam itu mestilah mempunyai dua unsur penting, iaitu (Nor Muhamed Yakob 1996) :

i. Ia hendaklah berasaskan Islam sepenuhnya, bukan setakat nama dan labelnya sahaja. Ia mesti mencerminkan falsafah, nilai, etika dan matlamat syariah Islam.

ii. Ia hendaklah mempunyai ciri-ciri sesuatu sistem yang canggih dan berdaya maju agar dapat bersaing dengan sistem konvensional dalam semua aspek. Bagi merealisasikan maksud ini, tiga pra syarat mesti terdapat dalam sesebuah sistem kewangan itu, iaitu (Al-Syarbini 1958):

a. Mempunyai pelbagai instrumen.

b. Jumlah institusi yang banyak dan mencukupi.

c. Mewujudkan suatu mekanisma bagi menghubungkan antara institusi tadi dengan insrtumen tersebut (Dato’Dr. Affifudin 1994).


Sistem kewangan Islam juga hendaklah mewujudkan satu mekanisma bagaimana untuk menghubungkan kedua-dua institusi dengan instrumen di atas bagi memastikan terdapatnya satu saluran yang cekap bagi sistem tersebut menjalankan urusannya. Contoh yang baik dalam kes ini ialah pasaran wang dan pasaran saham (Monzer Kahf 1989).

Pasaran-pasaran yang teratur dan berstruktur dalam sistem ini dapat menawarkan beberapa kemudahan berikut: (Nor Mohamed Yakcob 1996).

i. Sistem agihan yang berkesan dengan menggunakan beberapa mekanisma canggih untuk penerimaan dan pembiayaan;

ii. Sistem perdagangan yang cekap dalam instrumen-instrumen pasaran untuk memastikan perseimbangan dalam kuasa pasaran;

iii. Menawarkan kemudahan pengurusan portfolio dan dengan itu membolehkan pelabur memperoleh kepakaran secara mudah; dan

iv. Membolehkan pelabur mengurangkan risiko melalui kepelbagaian.

2.3 KONSEP DAN SISTEM RIBA

2.3.1 Definisi Riba

2.3.1.1 Riba Dari sudut Bahasa

Perkataan al-Riba dari sudut bahasa adalah kata nama (Ism) yang bererti bertambah (kadar bertambah) atau kata nama terbitan (Masdar) yang bererti tambahan (Kamal al-Din Muhammad 1970). Mengikut pendapat yang masyhur ia adalah kata nama akhiran dengan huruf alif (Ism maqsur) dan berasal daripada kata Raba, yarbu, Rabwan, wa Rubuwwan wa Riba’an yang bermakna bertambah, mengembang, meningkat atau meninggi (Ibn manzur 1970). Perkataan ra ba wa yang terdapat dalam al-Qur’an secara literalnya mempunyai enam pengertian, iaitu al-Rabwah (tempat yang tinggi); Rabiyah (kuat); Arba (lebih banyak bilangan); al-Riba (pertambahan); al-Ribbiyyun (terlalu banyak atau beribu-ribu); dan Yurbi (menerima) (surah al-‘Imran (3):146). Asal daripada perkataan Ra Ba wa ini lahirnya perkataan al-Riba dengan digantikan dengan huruf Alif pada huruf Wau dan pada sebutan tathniyahnya (bilangan dua) (Rida 1958). Mengikut pendapat ahli bahasa seperti Sibawih dan ahli Basrah sebutan tathniyahnya ditukarkan dengan wau manakala pendapat ahli Kufah adalah Ya’ disebabkan baris bawah (kasrah) pada awal perkataannya atau kerana bacaan mirip yang sesuai (imalah al-Sa’ighah) (Ibn manzur (t.t), op. Cit., jil. 14, h. 306).

Perkataan al-Riba asalnya di segi bahasa bermakna pertambahan (al-Ziyadah) atau lebihan (al-Idafah) kepada sesuatu (Abu al-walid Muhammad b. Ahmad b. Rusyd 1986). Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab telah merujuk kepada makna ini dalam pemakaiannya. Begitu juga pemakaian perkataan ini dalam Hadith merujuk kepada makna yang sama (al-Jammal 1986). Pertambahan ini sama ada asalnya pada benda itu sendiri atau kerana sesuatu urusniaga pertukaran atau jualan wang seperti menjual satu dirham dengan dua dirham atau urusniaga komoditi seperti dalam kes sistem barter yang ukurannya - sama ada sukatan atau timbangan – melebihi satu pihak daripada satu pihak lagi bagi barangan yang sama jenis (Abdel Moneim Mahmud El Gousi 1986). Ini semua membawa maksud pertambahan dalam harta dan pembiakannya (pertumbuhannya) melebihi modal pokok. Bukanlah semua tambahan itu dimengertikan sebagai riba kerana ada juga pertambahan dalam modal pokok yang dibenarkan oleh syariah seperti keuntungan perniagaan yang tidak diharamkan (Muhammad Faruq al-Nubhan 1978). Justeru itu untuk memahami makna al-Riba hendaklah dilihat dari perspektif sejarah yang betul.

Perkataan al-Riba telah digunapakai oleh orang-orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam dalam urusan muamalah mereka seharian dan ia bukanlah suatu istilah syarak yang baru (al-sayyid al-Imam Muhammad Rasyid Rida 1986). Al-Qur’an menggunakan “al” sebelum riba jelas menunjukkan bahawa perkataan riba memang dikenalai di kalangan orang-orang Arab jahiliah dan sudah menjadi amalan kelaziman mereka pada waktu al-Qur’an diwahyukan (Dr. Hassan salih al-‘Inan 1983). Sesetengah pengguna perkataan riba ini khusus berkenaan dengan urusniaga jual beli dan sesetengahnya pula khusus bagi urusniaga hutang-piutang (Samir al-Hudaybi 1988). Ketika pembinaan Kaabah pada zaman jahiliah, ketua-ketua suku Arab membuat perisytiharan supaya jangan dimasukkan ke dalam kos pembinaanya apa-apa hasil uasaha yang tidak baik. Antara hasil usaha yang dimaksudkan itu termasuklah hasil jual beli riba (Abu Muhammad ‘Abd Malik b. Hisyam 1994).

Riba dalam urusan hutang piutang di kalangan orang Arab Jahiliah ialah mereka meminjamkan sejumlah wang kepada seseorang bagi tempoh tertentu dan menerima daripada si penghutang sejumlah wang yang telah ditetapkan setiap bulan dengan pinjaman pokok masih berbaki. Apabila sampai tempoh pembayaran yang dijanjikan si penghutang tidak mampu menunaikannya, jumlah hutang akan bertambah dengan dilanjutkan tempoh pembayaran ( Abu ‘Abd Allah Muhammad ‘Umar. t.th.). Begitu juga pinjaman wang (dirham atau dinar) yang dibuat bagi sesuatu tempoh tertentu. Apabila sampai tempoh tersebut pembayaran tidak juga dibuat, masa pembayaran akan dilanjutkan dengan dikenakan pembayaran tambahan (Abu Ja’far Muhammad 1983). Inilah pengertian pekataan riba yang dirujuk pemakaiannya oleh orang-orang Arab pada zaman jahiliah.

2.3.1.2 Riba Dari Sudut Syarak

Pengertian riba mengikut istilah syarak, ramai ulama berselisih pendapat mengenainya. Sesetengah daripada mereka melihat dari aspek riba hutang dan sesetengahnya pula memberi definisi mengikut pentakrifan riba jual beli dan ada juga mentakrifnya mengikut kefahaman umum (Ilahi 1986). Ulama tafsir mendefinisikan riba dengan cara berlainan daripada pentakrifan ulama fiqh. Ulama fiqh sendiri berselih pendapat sesama mereka tentang pengertian riba kerana berlainan pemahaman mengenai ‘illahnya’ (Dr. Isma’il Lutfi 1990).

Riba yang didefinisikan daripada aspek hutang ialah tambahan ke atas harta pokok tanpa mengikut kontrak jual beli atau nama bagi tambahan ke atas harta pokok tanpa jual beli (Ibn Manzur (t.t) op. Cit., juz 14, h. 305). Riba yang ditakrifkan mengikut kefahaman umum ialah setiap tambahan yang tiada timbal balas tukarannya atau tambahan pada sesustu yang tertentu (Ibn Qudamah 1981). Adapun takrif riba yang dibuat mengikut pentakrifan kontrak jual beli adalah sebagaimana yang dikemukakan oleh kebayakkan ahli fiqh.

Mazhab Hanafi memberikan definisi riba mengikut istilah syarak ialah lebihan yang tidak setara tukarannya mengikut ukuran yang diakui oleh syarak dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh salah satu pihak yang berkontrak dalam kontrak pertukaran. Menurut mazhab Syafie, beliau mentakrifkan riba sebagai kontrak ke atas tukaran tertentu yang tidak diketahui persamaannya pada ukuran yang diakui oleh syarak semasa berkontrak atau penagguhan pada kedua-dua atau salah satu barangan tukaran tersebut. Mazhad hambali pula mengatakan riba itu adalah melebihkan sesuatu dan menagguhkan sesuatu yang tertentu. Al-Imam Ahmad Ibd Hanbal pernah ditanya tentang riba yang tidak diragukan dan beliau berkata bahawa seseorang yang menaggung hutang diberi pilihan sama ada ingin menjelaskan atau membuat riba (ataqdi am Turbi). Sekiranya tidak dijelaskan jumlah hutang akan bertambah dengan tempohnya dilanjutkan (syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad 1977). Manakala ulama Maliki pula memberi definisi riba sebagai lebihan pada bilangan atau timbangan yang sebenar atau samar-samar dan menagguhkan.

Adapun definisi riba pada syarak yang dikemukakan oleh ulama tafsir ialah tambahan yang diambil oleh si pemiutang daripada si penghutang kerana penagguhan tempoh pembayaran atau lebihan harta yang tiada timbal balas tukarannya dalam pertukaran harta dengan harta. Mengikut al-Qurtubi, riba yang dikenali oleh syarak ialah dua perkara, iaitu pengharaman bertangguh dan berlakunya lebihan pada pertukaran barangan al-Naqd (emas dan perak) dan makanan (al-Mat’umah). Sesetengahnya pula mengatakan riba pada syarak itu ialah pertamanya, riba yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah, kedua, lebihan dalam sukatan atau timbangan pada pertukaran barangan yang sama jenis dan yang ketiganya penangguhan (al-Jassas (t.t), op. cit., juz 3, h. 69). Mengikut al Tabari, riba itu bermaksud tambahan yang dikenakan oleh tuan punya harta disebabkan tambahan tempoh pembayaran oleh si penghutang dan menagguhkan pembayaran hutang tersebut.
Walaupun bentuk definisi yang diberikan oleh ulama di atas berbeza-beza, namun mereka telah sepakat bahawa riba itu terjadi pada dua perkara iaitu, pada urusniaga jual beli dan keduanya, pada tanggungan urusniaga kredit (hutang) (Abu al Walid Muhammad 1981). Begitu juga dalil daripada hadith-hadith Rasulullah dan riwayat-riwayat daripada Ahl al-Bayt bahawa riba itu berpunca daripada dua sumber, iaitu pertamanya urusniaga hutang yang mengenakan syarat lebihan dan manfaat di sebalik urusniaga tersebut. Keduanya, selain daripada urusniaga hutang di atas yang termasuk dalam urusniaga mu’amalat (Muhammad Jawad Maghniyyah 1965). Penelitian terhadap definisi yang diberikan oleh ulama-ulama di atas dapatlah dikatakan bahawa riba mengikut istilah syarak merangkumi tiga bentuk berikut :

i. Bayaran lebihan daripada wang pokok (harta asal) mengikut perjanjian yang disyaratkan terlebih dahulu.

ii. Kontrak ke atas pertukaran barangan tertentu yang tidak diketahui persamaannya pada timbangan atau sukatan yang diakui oleh syarak.

iii. Penagguhan serahan salah satryu barangan yang ditukarkan atau yang diperdagangkan bagi pertukaran matawang dan barangan ribawi (al-Nuqud dan al-At’imah).

Oleh itu, riba dalam Islam adalah merujuk kepada lebihan yang diminta melalui cara tertentu (Afzal-Ur-Rahman 1980). Sekurang-kurangnya terdapat tiga kategori utama urusniaga yang boleh membawa kepada lebihan ini (Shahrukh rafi Khan 1987). Pertamanya, jaminan pulangan kepada individu semata-mata atas alasan pemilikan (tanpa berusaha). Kedua, kontrak antara dua pihak yang menetapkan syarat awalan sejumlah keuntungan tertentu tanpa melihat kepada hasil (outcome) daripada kontrak itu. Ketiga, kontrak-kontrak yang dipersetujui itu mengandungi unsur gharar dan ketidakpastian.

Dengan meneliti berbagai-bagai bentuk perniagaan dan urusniaga kredit yang mengandungi unsur riba di Tanah Arab semasa turunnya ayat mengenai riba kepada Rasulullah (Anwar Iqbal Qurreshi 1974), maka riba yang dimaksudkan dalam Islam bolehlah ditakrifkan sebagai penentuan awalan lebihan daripada jumlah pokok pinjaman yang diterima oleh si pemiutang yang dikaitkan dengan sesuatu tempoh tertentu. Ianya mempunyai tiga unsur asas berikut (Sayyid Quth 1983) :

i. Lebihan dari jumlah pokok pinjaman.

ii. Penentuan lebihan ini berkaitan dengan tempoh atau jangkamasa.

iii. Persetujuan terhadap syarat lebihan ditentukan lebih dahulu iaitu dalam perjanjian pinjaman.

Ketiga-tiga unsur ini secara bersama membentuk riba dan sebarang urusniaga yang mengandungi unsur-unsur ini dianggap oleh ahli-ahli fiqh dan ahli-ahli ekonomi Islam sebagai riba (Afzal-Ur-Rahman 1980).

2.3.2 Klasifikasi Riba

Ulama membahagikan riba kepada beberapa klasifikasi mengikut ciri-ciri pengkelasannya. Mereka juga memberikan nama yang berbeza-beza kepada jenis riba tersebut sekalipun maksudnya agak sama. Antaranya ada yang mengkelaskan riba kepada Riba al-Nasi’ah dan Riba al-Fadl, Riba al-Nasi’ah dan Riba al-Naqd; Riba Nyata dan Riba Tersembunyi; Riba Hakiki dan naungannya; Riba Hutang dan selain daripada hutang; Riba Hutang dan Riba Jual Beli; dan Riba al-Quran dan Riba al-Nasi’ah (Abu Zahrah 1970). Ahli ekonomi Islam pula menamakan Riba al-Nasi’ah sebagai Riba Hutang dan Riba al-Fadl itu sebagai Riba Jual Beli (‘Itr 1986).

Umumnya mengikut ulama, riba itu mempunyai tiga jenis. Satu daripadanya ialah yang asal dan dua jenis lagi merupakan bayangannya atau pengikutnya (Ibn Qayyim 1977). Jenis riba asal ini adalah dikenali dengan Riba Hutang Piutang atau Riba al-Nasi’ah atau dikenali juga sebagai Riba al-Jahiliyyah (Abu Zahrah 1985). Para ulama sejak dari dahulu hingga sekarang telah sepakat mengatakan bahawa riba jenis asal ini adalah haram tanpa pengecualian. Ada pun riba jenis kedua itu mereka berselisih pendapat dengan sebahagian daripada mereka cuba menyempitkan ruang lingkup pengertiannya dan sebahagian pula memperluaskannya (al-Hudaybi 1988). Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Rushd yang mengatakan semua ulama telah bersepakat bahawa riba itu terjadi pada dua perkara, iaitu, pada urusniaga Bay’ (jual beli) dan keduanya, pada tanggungan urusniaga kredit (hutang), sama ada hutang itu berpunca daripada urusniaga jual beli atau pun pinjaman atau sebagainya.

Berdasarkan kenyataan yang dinyatakan oleh Ibnu Rushd, huraian mengenai klasifikasi riba dibuat mengikut pembahagian Riba Hutang dan Riba Jual Beli.

2.3.2.1 Riba Hutang Piutang (Riba al-Nasi’ah)

Riba jenis ini merupakan riba yang tidak diragukan dan ia jelas diharamkan oleh nas al-Qur’an. Ia adalah merupakan tambahan kepada hutang kerana perlanjutan tempoh matang pembayaran balik atau tambahan yang diambil oleh si pemiutang daripada si penghutang yang telah disyaratkan kerana perlanjutan tempoh (Sabiq 1971). Mengikut Fakhr al-Razi, Riba al-Nasi’ah itu ialah mereka meminjamkan sejumlah harta (wang) kepada seseorang sehingga tempoh tertentu dan menerima daripada si penghutang sejumlah wang yang telah ditetapkan setiap bulan dengan keadaan pinjaman pokok masih berbaki. Apabila sampai tempoh pembayaran yang dijanjikan, si penghutang tidak mampu menunaikannya, jumlah hutang akan bertambah dengan dilanjutkan lagi tempoh pembayaran (Ibn Hajar 1982).

Riba jenis ini mempunyai dua gambaran seperti berikut (Dr. Hasan Abd Allah al-Amin (t.t)) :

i. Tambahan ke atas hutang yang dibuat semasa berkontrak-pinjaman berserta tambahan yang disyaratkan semasa berkontrak dan tambahan itu diambil bersama-sama dengan wang pokok.

ii. tambahan ke atas hutang kerana menangguhkan pembayaran apabila tiba tempoh pembayaran sama ada hutang itu berpunca daripada urusniaga jualan dengan harga tertangguh atau berpunca daripada urusniaga pinjaman. Maknanya si penghutang gagal menjelaskan hutang pada masa yang dijanjikan (semasa tiba tempoh pembayaran).

Prinsipnya, pengharaman Riba al-Nasi’ah itu membawa erti bahawa pulangan positif yang ditetapkan terlebih dahulu ke atas sesuatu pinjaman sebagai ganjaran kepada menunggu adalah dilarang dalam Islam (Abu Zahrah (t.t)). Larangan ini tidak terkecuali sama ada pulangan itu bentuknya berkadar atau berubah-ubah kepada jumlah pokok, ataupun merupakan sejumlah mutlak yang dibayar pada permulaan atau akhir tempoh pinjaman (Chapra 1985).

2.3.2.2 Riba Jual Beli (Riba al-Fadl)

Rasulullah s.a.w. tidak membataskan pengertian riba hanya kepada urusniaga kredit yang melibatkan wang semata-mata, malah larangan ini merangkumi sama kesemua bentuk urusniaga jual beli secara sistem barter (pertukaran barangan dengan barangan) (Haque 1995). Rasulullah dalam sebuah hadithnya meminta supaya apabila emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam dijadikan barangan pertukaran yang sama jenis maka ia mestilah dalam bentuk pertukaran yang serta merta, sama banyak dan serupa. Ekoran daripada hadith inilah lahirnya apa yang dikatakan jenis riba kedua iaitu Riba jual beli atau Riba al-Fadl. Ia sebagai tambahan kepada jenis pertama yang diharamkan melalui al-Qur’an dan ianya tidak diketahui oleh masyarakat Arab sebagai riba sekalipun mereka mengamalkan urusniaga ini (Abu Zahrah 1970). Ia diertikan sebagai pertukaran sesuatu barangan yang sama rupa dan bentuknya yang disertai dengan sesuatu tambahan atau seseorang itu menjual sesuatu barangan dengan barangan yang sejenis dengan disertai lebihan (Qutb 1982). Atau lebih khususnya ialah jual Naqd (emas atau perak) dengan Naqd atau makanan dengan makanan yang disertai lebihan iaitu jual beli yang disertai lebihan pada salah satu barangan tukaran ribawi (al-Khatib (t.t)).

Umumnya bolehlah dikatakan bahawa Riba Jual Beli itu berlaku apabila terdapat unsur lebihan atau perbezaan kuantiti dalam sesuatu urusniaga pertukaran atau jual beli barangan yang sama jenis daripada kumpulan barang-barang ribawi (Riba al-Fadl) atau penangguhan penerimaan atau penyerahan barangan tukaran daripada kumpulan barangan ribawi sejenis (Riba al-Nasa’)(Abu Zahrah 1970). Riba jenis ini juga kadang-kadang dikenali dengan Riba al-sunnah kerana sumber pengharamannya daripada hadith Rasulullah (al-Nawawi 1981). Ulama-ulama mazhab yang termasyhur mengatakan riba jenis ini hukumnya adalah haram walaupun berlaku sedikit perselisihan pendapat mengenai jenis-jenisnya (Ibn Qudamah 1981).

Berdasarkan hadith riwayat ‘Ubadah b. al-Samit, Riba jual beli mempunyai dua jenis iaitu Riba al-Nasi’ah atau Riba al-Nasa’ dan Riba al-Fadl. Riba al-Nasa’ mempunyai dua gambaran berikut:

i. jual beli (pertukaran) barangan ribawi sesama jenis yang sama banyak kuantitinya secara tertangguh hukumnya haram. Manakala pertukaran yang dibuat secara tunai sekalipun tidak sama banyak kuantitinya adalah dibolehkan (al-Nawawi 1981).

ii. Jual beli (pertukaran) barangan ribawi yang berlainan jenis tetapi mempunyai ‘illah’ yang sama secara bertangguh adalah haram sebaliknya jika illahnya tidak sama sekalipun secara bertangguh dan tidak sama kuantitinya dibolehkan (al-Nawawi 1981).

Jenis kedua ialah Riba al-Fadl iaitu pertukaran (jual beli) barangan ribawi sesama jenis dengan tambahan pada salah satu pihak (kuantiti yang tidak sama). Sekiranya urusniaga ini dibuat secara bertangguh hukumnya adalah haram dan jika dibuat secara tunai, ulama’ berselisih pendapat tentang perkara tersebut (Ibn Abbas dan ulama’(t.th)).



Pengkelasan riba dilihat daripada aspek sumber pengharamannya bolehlah dikelaskan sebagaimana berikut (al-Nisaburi 1962) :

i. Pengharaman melalui al-Qur’an hanyalah bagi jenis Riba al-Nasi’ah sahaja.

ii. Pengharaman melalui al-Sunnah yang merupakan penjelas kepada al-Qur’an adalah empat jenis, iaitu :

a. Riba al-Fadl, iaitu jual beli atau pertukaran barangan ribawi yang sejenis berserta dengan tambahan pada salah satu barangan tukaran tersebut (Ibn Hajar 1982).

b. Riba al-Yad, iaitu jual beli atau pertukaran barangan ribawi yang mempunyai ‘illah yang sama sekalipun berlainan jenis dengan melewat penerimaan kedua-dua barang tukaran atau salah satunya dalam majlis ‘aqad (Ibid).

c. Riba al-Nasa’, iaitu jual beli atau pertukaran barangan ribawi yang sejenis ataupun yang mempunyai ‘illah yang sama secara bertangguh, sekalipun jangka masanya pendek, tanpa mengira sama ada kuantitinya itu sama atau penerimaannya dalam majlis (Ibid).
d. Riba al-Qard, iaitu semua bentuk perolehan atau manfaat yang diperolehi oleh si pemiutang daripada si penghutang kerana kontrak hutang (al-Sarakhsi 1978).

Pengkelasan riba dilihat daripada jenis kontrak yang terlibat bolehlah dibahagikan kepada dua kelas yang utama seperti berikut :

1. Riba Hutang Piutang
Jenis-jenis riba yang tergolong dalam kelas ini ialah (Ibn Rusyd 1981):

i. Riba al-Jahiliyyah. Iaitu pertambahan wang pokok kerana perlanjutan tempoh pembayaran balik. Riba ini dipersetujui oleh semua ulama’ tentang pengharamannya.

ii. Jenis yang dikenali di kalangan ulama’ fiqh dengan “Da’ wa Ta’ajjal”, iaitu seseorang yang menanggung hutang selama tempoh tertentu, diberi pilihan oleh si pemiutang supaya menyegerakan pembayaran sebalum tempoh matang hutang tersebut.

2. Riba Jual beli

Jenis riba yang tergolong dalam kelas ini ialah (ibn Rusyd 1981):

i. Riba al-Nasi’ah. Ia mempunyai dua bentuk seperti berikut :

a. jual beli barangan ribawi yang sejenis dan sama banyak tetapi tertangguh (tidak secara tunai). Urusniaga ini disepakati oleh ulama’ sebagai haram.

b. Pertukaran barangan ribawi dengan barangan ribawi yang lain tidak sejenis yang mempunyai ‘illah yang sama secara bertangguh (tidak secara tunai). Hukumnya haram dengan ijma’ ulama’.

ii. Riba al-Fadl. Iaitu pertukaran barangan ribawi sejenis secara berlebihan pada salah satu pihak yang berkontrak.

2.4 KESIMPULAN

Di sini dapatlah dikatakan bahawa sistem kewangan adalah merupakan salah satu cabang sistem ekonomi yang mana ianya merupakan satu sistem muamalah iaitu hubungan hamba sesama hamba. Merujuk kepada sistem kewangan Islam ia merupakan suatu sistem yang berlandaskan syariah Islam. Setiap amalan dan kegiatan ekonomi yang dijalankan adalah bertunjangkan kepada ajaran Islam yang sebenar. Bagi memahami gambaran sistem kewangan Islam dengan lebih jelas sila rujuk rajah 1 di bawah.
Rajah 1 : Sistem Kewangan Islam
Syariah Islam

Sistem Kewangan
Muamalah
(Hubungan Hamba sesama Hamba)
Sistem Ekonomi
Syariah
(Amalan dan Kegiatan)








Sumber : Olahan Pengkaji

Perbincangan tentang riba pula menunjukkan dengan jelas bagaimana penerbitan yang dibuat untuk menentukan unsur riba dan seterusnya menentukan kesahan urusniaga supaya kezaliman tidak dilakukan oleh mana-mana pihak. Semua jenis urusniaga sama ada yang melibatkan wang atau sistem barter, secara kredit atau dari tangan ke tangan (tunai) yang berkemungkinan wujud lebihan dari pinjaman dikatakan mempunyai unsur riba dan oleh itu ia diharamkan dalam masyarakat Islam.








BAB III


PRINSIP-PRINSIP OPERASI PERBANKAN ISLAM


3.1 PENGENALAN

Setelah melihat mengenai konsep sistem kewangan Islam dan konsep riba, di bahagian tiga ini pula akan dikaji mengenai prinsip-prinsip operasi dalam sistem kewangan atau perbankan Islam. Segala bentuk operasi yang dijalankan dalam perbankan dan kewangan Islam mestilah selari dengan atau mengikuti peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh syariah.

3.2 PRINSIP-PRINSIP OPERASI PERBANKAN ISLAM

Seperti juga institusi kewangan konvensional yang lain, fungsi utama bank Islam ialah untuk menggalakkan simpanan atau menggerakkan dana yang terbeku di dalam ekonomi dan menyalurkannya kepada mereka yang mahu dan mampu menggunakannya ke jalan yang bermanafaat. Oleh kerana Islam melarang pengambilan dan pemberian riba, maka bank Islam perlu menyediakan perkhidmatan perbankan yang dibenarkan dan tidak dilarang oleh Islam kepada para pelanggannya.

Langkah pertama yang perlu diambil sebelum sebarang perkhidmatan yang ditawarkan kepada para pelanggan ialah dengan merujuk kepada sumber asli dan terpenting di dalam perundangan Islam iaitu al-Qur’an dan al-Hadith. Segala bentuk prinsip dan larangan yang berkaitan dengan perniagaan perlulah diteliti dan dikaji demi kesesuaiannya dengan sistem perbankan Islam yang mahu diwujudkan.
Di dalam al-Qur’an kita akan bertemu dengan banyak ayat yang ada kaitan dengan amanah keadilan, larangan memberi rasuah, anjuran memberi bukti-bukti yang benar, memberi timbangan dan ukuran yang tepat dan seumpamanya. Selain dari itu, terdapat juga ayat-ayat yang menyatakan bahawa kontrak perlu dibuat secara bertulis dan bersaksi, menyediakan cagaran dan melaksanakan tanggungjawab.

Beberapa panduan yang turut diberikan oleh Hadith, terutamanya di dalam soal-soal jual beli. Di antara hadith yang ada kaitannya termasuklah soal al-salam (jual beli di mana harga dibayar terlebih dahulu dan barangan diserahkan kemudian) sewaan, al-hawala (permindahn hutang daripada seorang kepada orang lain), pinjaman, pembayaran pinjaman, pembekuan harta benda, kebankrapan, perkongsian, gadaian, penyaksian, dan syarat-syarat perniagaan.

Walaupun terdapat pelbagai ayat di dalam al-Qur’an dan hadith-hadith yang ada kaitannya dengan asas perniagaan, tetapi prinsip-prinsip yang diberikan ini kadangkala tidak berkaitan secara langsung dengan dunia perbankan moden. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para sarjana dan perundangan Islam untuk mewujudkan prinsip-prinsip pernigaan yang tidak melanggar hukum-hukum Syariah dan pada masa yang sama boleh digunakan dan bersesuaian dengan sistem perbankan.

Terdapat pelbagai istilah yang digunakan oleh bank-bank Islam di seluruh dunia bagi menggambarkan prinsip syariah yang digunakan untuk sesuatu jenis perkhidmatan perbankan. Selain dari itu, ada yang menggunakan istilah Arab dan Inggeris atau bahas-bahasa lain (bahasa tempatan negeri bank Islam itu beropearsi) bagi menggambarkan prinsip-prinsip Syariah yang digunakan.







Prinsip-prinsip Syariah yang menjadi amalan-amalan bank-bank Islam di dalam sistem perbankan Islam boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu :

i. Berdasarkan kongsisama keuntungan.

ii. Berdasarkan Caj, komisen, yuran atau bayaran lain-lain yang ditetapkan jumlahnya.

iii. Perkhidmatan yang diberikan tanpa bayaran.

iv. Prinsip-prinsip yang ada kaitannya secara tidak langsung dengan sistem perbankan.

Di antara prinsip umum ataupun prinsip yang digunakan secara menyeluruh oleh kebanyakkan bank-bank Islam ialah mudharabah, musyarakah, murabahah, ijarah, ijarah wa-iktima, bai muaazzal, qard hassan, wadiah, dan al-rahn. Selain dari itu, terdapat juga beberapa prinsip Syariah lain yang hanya digunakan oleh bank-bank Islam di negara-negara tertentu sahaja. Sebagai contoh, Malaysia mempunyai prinsip tambahan seperti bai al-dayn, al-ijarah thumma al-bai, al-wakalah, al-hiwalah, al-ajr dan al-wadiah yad dhamah. Manakala Iran pula mempunyai prinsip tambahan seperti joaalah, mozaraah dan mosaqat.

Penggunaan pelbagai prinsip Syariah ini kadangkala boleh mewujudkan keraguan dan kekeliruan serta menimbulkan persoalan sama ada prinsip yang digunakan itu adalah prisnsip yang benar-benar diterima oleh Syariah ataupun hanyalah apa yang dipanggil sebagai hila (jika jamak dipanggil hiyal). Hiyal adalah alatan yang diwujudkan untuk mencapai sesuatu tujuan yang pada asasnya bertentangan dengan Syariah.

Para perundangan Islam walau bagaimanapun tidak mencapai kata sepakat bagi mengesahkan penggunaan konsep ini di dalam mewujudkan prinsip Syariah. Mazhab hanafi adalah mazhab yang menyokong penggunaan konsep ini dan kebanyakkan tulisan yang menyokong konsep ini adalah hasil kerja mazhab Hanafi. Bagi Mazhab Shafie, sokongan hanyalah dibuat oleh para perundangnya yang terkemudian dan pengangan ini bertentangan dengan pengangan yang dibuat oleh Imam Safie sendiri. Dua Mazhab yang lain menentang pengguaan konsep hiyal ini. Penentangan ini menjadi lebih ketara apabila mazhab Maliki mewujudkan prinsip saddadah-dhara’i, iaitu prinsip yang dikenali sebagai ‘sekatan kepada penggunaan kaedah’ di mana ia dibentuk untuk menghalang penggunaan kaedah yang dibenarkan oleh perundangan untuk mencapai tujuan yang pada awalnya adalah haram. Kecaman-kecaman yang hebat juga banyak dikeluarkan oleh para perundangan Hambali yang menentang dan mengkeji pengguaan konsep ini.

3.2.1 Prinsip Musyarakah

Musyarakah atau syarika biasanya diterjemahkan sebagai perkongsian dan Syariah membahagikan syarika kepada dua kategori iaitu syarikat mulk (perkongsian harta) dan syarikat ‘aqd. Terdapat satu lagi bentuk perkngsian yang dipanggil mudharabah, tetapi perkongsian jenis ini biasanya dibincangkan secara berasingan di dalam kebanyakkan buku perundangan Islam.

Secara kasar, syarikat mulk hanya melibatkan kongsisama hakmilik ke atas sesuatu harta dan tidak melibatkan sebarang usahasama untuk memaju atau menggemblengkan harta itu. Sementara syarikat ‘aqd pula memberi penekanan kepada konsep penglibatan bersama di dalam usaha yang hendak dijalankan dan kongsisama ini meliputi pengeluaran modal dan untung rugi (Saleh 1986).

Terdapat tiga kaedah untuk menubuhkan syarikat ‘aqd. Sekiranya wang tunai merupakan kriteria utama yang digunakan untuk menubuhkan perkongsian tersebut, maka ia dipanggil syarikat mal ataupun perkongsian kewangan. Sekiranya perkongsian tersebut bergantung kepada pengalaman atau kepakaran rakan-rakan kongsi, maka ia dipanggil perkongsian tenaga kerja atau syarikat a’mal. Sebaliknya sekiranya perkongsian itu ditubuhkan atas dasar kredit ataupun pelaburan yang dibuat di dalam syarikat yang ditubuhkan maka, ia dipanggil perkongsian pelaburan atau syarikat wujuh. Setiap syarikat yang mahu ditubuhkan ini boleh dibentuk sama ada sebagai perkongsian yang tidak terhad, perkongsian yang seimbang (di kalangan mazhab Hanafi dipanggil mufawada), ataupun berbentuk perkongsian pelaburan yang terhad atau sebagai syarikat inan.

Di dalam konteks sistem perbankan Islam, prinsip musyarakah yang berkaitan ialah inan syarikat mal atau perkongsian pelaburan kewangan terhad. Prinsip ini juga lebih dikenali sebagai penyertaan pembiayaan dan wang tunai merupakan kriteria utama di dalam proses pembentukan perkongisan ini.

Secara mudah, musyarakah bererti perjanjian usahasama di antara dua pihak untuk melakukan atau terlibat di dalam aktiviti perniagaan atau projek tertentu dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan. Pembatalan kepada perjanjian ini mungkin berdasarkan waktu ataupun setelah segala syarat yang ditetapkan ketika perjanjian itu dipenuhi.

Berdasarkan prinsip ini, kedua-dua pihak yang terlibat dalam usahasama itu akan mengeluarkan modal dan pihak pelabur boleh mnegikut perjanjian yang dipersetujui untuk mengambil bahagian di dalam pengurusan. Pembahagian keuntungan atau kerugian juga ditetapkan terlebih awal dan tidak semestinya berdasarkan jumlah modal yang disumbang oleh perkongsi terlibat.

3.2.2 Prinsip Mudharabah

Istilah mudharabah merupakan istilah yang paling kerap digunakan oleh bank-bank Islam. Prinsip ini juga dikenali sebagai ‘qirad’ atau ‘muqaradah’. Pelbagai terjemahan digunakan oleh para sarjana untuk perkataan ini. Di antara terjemahannya ialah ‘pembiayaan amanah’, ‘pemegang amanah’, ‘kongsisama amanah’ dan ‘kongsisama keuntungan’. Pada dasarnya konsep ini adalah konsep di mana pihak yang mempunyai modal atau wang akan meyerahkan wangnya kepada orang lain untuk menjalankan sesuatu usaha atau perniagaan. Pihak yang mengeluarkan wang tidak akan mencampuri urusan perniagaan itu dan pada akhir jangka masa tertentu, pengusaha akan memulangkan semula modal yang diberikan itu berserta dengan sebahagian daripada keuntungan.

Prinsip mudharabah ini sebenarnya telah pun diamalkan oleh orang-orang Arab sebelum kedatangan Islam dan ia terus diamalkan selepas kedatangan Islam (Saleh 1986). Imam Saraksi, salah seorang pakar perundangan Islam yang terkenal dalam kitabnya, al-Mabsut telah memberikan definisi mudharabah dan menerangkan bagaimana ini didapati. Menurutnya :

Perkataan mudharabah adalah diambil daripada perkatan ‘darb’ (usaha) di ata muka bumi’. Ia dinamakan demikian kerana mudarib (pengguna modal yang lain) berhak untuk berkongsisama keuntungan atas penat lelah dan usahanya. Selain daripada memperolehi keuntungan, dia juga berhak untuk menggunakan modal dan berusaha mengikut arah tujuan nya sendiri. Orang-orang Madinah meamnggil kontrak jenis ini sebagai muqaradah di mana perkataan ini diambil dari perkataan qard bererti ‘menyerahkan’. Di dalam hal ini, tuan punya kepada modal akan menyerahkan hak ke atas modalnya itu kepada amil (pengguna modal).
(Uzair 1980.hlm.45)

Berpandukan penjelasan di atas, maka prinsip mudharabah boleh ditakrifkan sebagai perjanjian yang melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak iaitu rabb al-mal atau pelabur dan mudarib atau disebut juga sebagai pengusaha dan kadangkala dikenali sebagai pengurus. Di dalam perjanjian mereka, pelabur bersetuju untuk membiayai atau mengamanahkan wangnya kepada pengusaha yang akan menggunakan wang tersebut di dalam uasaha yang mahu diceburi. Pengusaha berjanji akan memulangkan semula modal yang dikeluarkan berserta sebahagian keuntungan berdasarkan nisbah tertentu. Nisbah keuntungan berdasarkan perjanjian yang dipersetujui pada awal kontrak dan tidak ada jaminan kepada pelabur bahawa pelaburannya itu akan memperolehi keuntungan. Sekiranya usaha yang akan dijalankan itu rugi, dan kerugian itu di luar kawalan mudarib, maka kerugian itu akan ditanggung oleh pelabur. Mudarib hanya akan kerugian dari segi masa dan tenaga sahaja.

Tidak terdapat keseragaman pendapat di antara mazhab-mazhab mengenai penggunaan prinsip ini di dalam urusan perniagaan. Mazhab Maliki dan Shafie berpendapat bahawa aktiviti mudharabah adalah terhad untuk urusan perdagangan dan aktiviti lain-lain yang ada kaitannya dengan perniagaan. Ia tidak boleh melibarkan fungsi pembuatan atau pengilangan di pihak mudharib kerana dengan berbuat demikian ia dianggap sebagai kontrak untuk membuat ataupun di dalam syariah dipanggil Istisna.

Mazhab hanafi pula tidak menentang penggunaan prinsip ini untuk kerja-kerja pembuatan. Mazhab Hanbali pula membenarkan kedua-dua pihak yang terlibat, iaitu pelabur dan pengusaha mengadakan dua perjanjian yang berasingan iaitu perjanjian untuk mengilang yang menggunakan prinsip Istisna dan satu lagi menggunakan prinsip mudharabah, asalkan kedua-dua perjanjian itu bukanlah merupakan syarat antara satu sama lain (Saleh 1986).

Prinsip mudharabah ini boleh digunakan di dalam sistem perbankan Islam untuk dua keadaan yang berbeza iaitu di antara bank dan pihak pembekal dana, dan antara bank dengan pengguna dana. Bagi pembekal dana, pihak bank akan bertindak sebagai mudarib dan penyimpan sebagai rabb al-mal. Sementara itu, bagi pengguna dana pula, bank akan menjadi rabb al-mal dan pengusaha menjadi mudarib. Prinsip ini dianggap sebagai salah satu prinsip yang mulia di dalam sistem perbankan islam kerana ia menyatukan dua kompenan utama iaitu kewangan dan tenaga manusia di dalam konteks yang dibenarkan oleh Syariah.

Walaupun terdapat kebenaran bahawa pelabur yang mengeluarkan modal itu tidak mengeluarkan sebarang tenaga, sebaliknya mengharapkan pulangan atau hasil daripada pelaburannya. Tetapai di dalam jangka masa yang sama dia juga sanggup menaggung risiko kerugian. Jika usaha yang dilakukan itu untung, dia akan mendapat semula modal dan sebahgian keuntungan, tetapi jika rugi dia bukan ahaja tidak mendapat sebarang pulangan tetapi kemungkinan besar akan kehilangan modal awalnya itu.

3.2.3 Prinsip Murabahah

Pada asasnya prinsip ini merupakan konsep jual beli barangan di antara dua pihak. Menurut konsep ini, kedua pihak bersetuju menjual dan membeli pada suatu tingkat harga yang di dalamnya terkandung segala kos barangan dan juga keuntungan. Di dalam konsep ini penjual akan membeli barangan sama ada di dalam bentuk bahan mentah, mesin dan peralatan lain-lain yang dikehendaki oleh pembeli atau pengguna dan kemudian barangan ini akan dijual kepada pengguna pada harga yang lebih tinggi dari harga belian asal. Konsep ini juga dikenali sebagai konsep mark-up price atau harga yang dinaikkan. Sekiranya konsep ini digunakan, maka bank Islam tidak lagi menggunakan konsep kongsisama keuntungan atau kerugian tetapi sebaliknya bertindak sebagi entiti perniagaan biasa iaitu ia terlibat di dalam urusan jual beli barangan.

Kesemua mazhab telah menerima prinsip murabahah ini sebagai alat yang sah dan dibenarkan di dalam urusan perniagaan. Namun begitu, terdapat perbezaan pendapat di dalam perlaksanaannya. Aspek pertama ialah dari segi jumlah kenaikkan harga yang dibenarkan ataupun kadar keuntungan yang boleh diperolehi oleh bank Islam apabila barangan itu dijual semula kepada pelanggannya. Aspek kedua ialah dari segi hak ataupun pilihan yang boleh dilakukan oleh pembeli atau pengguna apabila mendapati kenaikan harga tersebut terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Bagi tujuan menaikkan harga, mazhab Hambali berpendapat bahawa semua perbelanjaan yang dikeluarkan berkaitan barangan yang hendak dijual mengikut konsep murabahah itu boleh dijumlah atau dicampurkan sebagai jualan. Walau bagaimanapun, pembeli perlulan diberitahu jumlah dan sumber perbelanjaan tambahan ini. Konsep yang sama juga menjadi pegangan mazhab Shafie. Walau bagaimanapun, mazhab Shafie meletakkan keperluan tambahan di mana bayaran kepada pihak ketiga oleh penjual tidak boleh dimasukkan ke dalam harga murabahah kecuali dipersetujui oleh pembeli. Mazhab Hanafi agak lebih longgar di dalam soal ini. Mereka membenarkan semua perbelanjaan yang terlibat di dalam perniagaan yang ada hubungan atau kaitannya dengan murabahah tersebut. Mazhab Maliki pula membahagikan perbelanjaan berdasarkan tiga kategori. Kategori pertama ialah perbelanjaan yang boleh dicampurkan dengan modal (harga belian kepada barangan) dan ia menjadi asas untuk mengira keuntungan. Kategori kedua ialah perbelanjaan yang boleh dicampurkan dengan modal tetapi tidak boleh dijadikan asas untuk mengira keuntungan dan kategori ketiga ialah perbelanjaan yang tidak boleh dicampur dengan modal dan tidak boleh dijadikan asas untuk mengira keuntungan.

Mengikut Mazhab Shafie, apabila pembeli di bawah prinsip murabahah ini mendapati bahawa harga beliannya itu terlalu tinggi atau dinaikkan tanpa alasan munasabah oleh penjual, maka ia berhak memulangkan barangan tersebut dan mendapat wangnya semula jika barangan itu masih ditangannya. Namun begitu, dia boleh juga memilih untuk menyimpan barangan tersebut dan menuntut semula jumlah bayaran bagi kenaikan yang tidak munasabah itu. Bagi mazhab Maliki, pembeli juga mempunyai dua pilihan, iaitu dia boleh membeli barangan dengan harga yang berpatutan atau pun memulangkan semula barangan itu. Bagi mzhab Hanafi, pembeli perlu membuat keputusan sama ada meneruskan pembeliannya dengan harga yang ditetapkan itu atau pun memulangkannya dan mendapatkan wangnya semula. Walau bagaimanapun, menurut mazhab Hanafi, jika barangan itu sudah tidak ada lagi di tangan pembeli, maka ia tidak mempunyai pilihan lain, kecuali mengesahkan pembelian itu (Saleh 1986).

3.2.4 Prinsip Ijarah

Ijarah bererti kontrak untuk memajak dan juga kontrak untuk menyewa. Oleh itu, maksud sebenar ijarah adalah kontrak ataupun jualan yang melibatkan gunapakai harta kepunyaan orang lain. Menurut aspek perundangan Syariah, peraturan yang digunakan dalam soal ini termasuklah apa yang dipanggil pertamanya sebagai khiyar al-ru’ya iaitu hak pembatalan pada waktu ia melihat barangan yang dibelinya itu. Kedua, ialah khiyar al-‘ayb iaitu hak pembatalan akibat mutu barangan adalah lebih rendah dari yang dinyatakan. Ketiga, khiyar al-syart iaitu hak untuk pembatalan, keempat faskh iaitu pembatalan atau pemansuhan dan akhirnya ikala iaitu timbalbalik atau gantian.

Mengikut mazhab Maliki, ijarah menyamai kontrak jualan di mana harga ditukarkan dengan munafa’a iaitu kegunaan. Kontrak ini mestilah menentukan sama ada munafa’a itu berdasarkan waktu (jangka masa menggunakan barang) ataupun barangan itu sendiri. Mengikut Mazhab Maliki, kontrak tidak sah di dalam dua keadaan. Pertama, jika barangan yang disewa atau dipajak itu digunakan untuk tujuan yang dilarang oleh Syariah seperti untuk dijadikan tempat maksiat dan perjudian atau mengeluarkan arak dan lain-lain yang ditegah. Kedua, jika kontrak adalah sesuatu yang mandatori contohnya menyewa seorang ibu untuk menyusukan anaknya sendiri.

Mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa ijarah adalah suatu kontrak gunapakai untuk barangan yang ada jasadnya atau ayn dan tujuan yang dibenarkan oleh Syariah untuk jangkamasa yang ditetapkan. Mengikut mazhab Shafie, ijarah adalah kontrak di mana barangan yang hendak disewa itu boleh ditentukan dari awal, sesuatu yang dibenarkan oleh Syariah dan boleh dipindahkan kegunaannya dan mempunyai balasan yang tetap (iaitu bayaran sewa yang ditetapkan).

Semua mazhab berpendapat bahawa ijarah adalah kontrak yang mengikut atau lazim. Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan pendapat mengenai sebab-sebab yang membolehkan kontrak itu dibatalkan. Mazhab Maliki dan Shafie berpendapat bahawa ijarah hanya boleh dibatalkan oleh kecacatan yang besar dan memberi kesan kepada barangan yang disewa itu.

Selain dari itu, sekiranya tujuan untuk menyewa itu tidak lagi wujud maka sewaan tersebut juga akan terbatal. Menurur mazhab Hanafi, ijarah boleh terbatal jika wujudnya alasan yang munasabah manakala mazhab Hambali pula berpendapat ijarah terbatal sekiranya barang sewaan itu musnah atau mengalami kecacatan yang agak besar.

Ijarah boleh dibahgikan kepada dua iaitu berdasarkan jangka masa dan juga berdasarkan tugas yang mahu dilaksanakan. Ijarah berdasarkan waktu mestilah dinyatakan dengan jelas tempohnya dan ia mestilah sesuatu yang munasabah. Terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sekiranya sewaan yang melibatkan tanah-tanah pertanian. Syarat-syarat sewaan yang boleh menyebabkan kerugian kepada penyewa, contohnya penyewa perlu menggali saliran yang boleh mengeringkan air sedangkan tanaman memerlukan air adalah dilarang. Sekiranya hasil tanaman masih belum dikutip sedangkan tempoh sewaan telah tamat maka kontrak tetap diteruskan sehingga hasil yang dikutip dan penyewa perlu membuat bayaran sewaan yang sewajarnya.

Terdapat juga beberapa prinsip Syariah berkenaan dengan sewaan yang melibatkan sektor pertanian. Prinsip yang berkaitan ialah mozaraah dan mosaqat dan di bawah prinsip ini bayaran sewa berdasarkan nisbah hasil tanaman yang dikeluarkan. Kedua prinsip ini digunakan oleh sistem perbankan Islam di Iran.

Mozaraah adalah kontrak di antara tuan punya tanah iaitu mozare yang menyerahkan tanahnya bagi jangka masa tertentu kepada pihak lain amel atau pengusaha untuk tujuan pertanian. Sebagai balasan, kedua-duanya akan berkongsi hasil pertanian berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui ketika kontrak dibuat. Sementara itu, mosaqat pula adalah kontrak antara tuan punya pokok tanaman atau lain-lain tumbuhan dengan amel bagi tujuan pengeluaran hasil tanaman. Hasil tanaman ini kemudiannya akan dikongsikan dan ia mungkin dalam bentuk buah, daun atau bunga (Hedayati 1993)

Selain dari itu, terdapat juga konsep yang dipanggil ijarah waiktina. Ia merupakan penyewaan harta benda yang boleh alih atau kekal di mana penyewa akan diberi pilihan untuk memiliki harta tersebut. Di Malaysia, konsep ijarah ini dikembangkan dan prinsip ini dikenali sebagai al-ijarah thumma al-bai iaitu penyewaan diikuti dengan jual beli. Konsep ini menggunakan dua konsep yang berasingan iaitu kontrak untuk menyewa dan juga konsep jual beli. Kontrak menyewa adalah kontrak di mana pelanggan bersetuju untuk menyewa mengikut jangka masa yang dipersetujui. Apabila tamat sahaja tempoh penyewaan maka pelanggan bersetuju untuk membeli barangan itu daripada tuan punya pada harga yang dipersetujui bersama (Bank Negara Malaysia 1994).

3.2.5 Prinsip Qard Hassan

Prinsip yang dikenali sebagai al qardhul hasan di Malaysia dan di Iran sebagai qard al hasanah. Ia merupakan pinjaman kebajikan di mana peminjam hanya perlu membayar semua jumlah wang yang dipinjamnya sahaja. Walau bagaimanapun, peminjam boleh mengikut budi bicaranya untuk membayar lebih dan apa yang dipinjamnya dahulu. Prinsip ini merupakan satu-satunya pinjaman yang dibenarkan oleh Syariah dan tujuan pinjaman ini adalah untuk tujuan keadilan sosial dan ekonomi.

Bank-bank Islam adalah dicadangkan untuk memberikan pinjaman jenis ini di dalam keadaan berikut (Salleh 1986) :

i. Di samping membuat pelaburan mengikut prinsip musyarakah, bank juga boleh memberi bantuan di dalam projek yang disertainya itu mengikut konsep ini. Ini disebabkan sekiranya semua bantuan dalam bentuk musyarakah, maka kemungkinan besar peratusan keuntungan untuk pihak bank agak tinggi dan bahagian yang diterima oleh pelanggan agak kecil. Bantuan dalam bentuk qard hassan ini boleh digunakan untuk membiayai modal kerja.

ii. Kemudahan mengikut prinsip ini boleh diberikan kepada pelanggan bank yang menghadapi masalah aliran tunai. Ia boleh diberikan kepada pelanggan di mana bank mempunyai kepentingan pelaburan di dalamnya ataupun pelanggan itu adalah seorang yang boleh dipercayai dan berkeupayaan membayar balik pinjamannya.

iii. Kemudahan ini boleh diberikan kepada pelanggan yang jumlah simpanannya di bank agak besar. Apabila mereka menghadapi kesulitan, maka mereka biasanya mempunyai pilihan iaitu sama ada mengeluarkan simpanannya ataupun meminta bank membantunya dengan prinsip-prinsip yang lain. Oleh itu untuk mengelakkan kesulitan yang timbul dan juga bagi tujuan menjag imej bank, kemudahan qard hassan boleh diberikan kepadanya.

3.2.6 Prinsip Wadiah

Wadiah bererti pengamanahan dan di bawah prinsip ini tuan punya harta akan melantik orang lain untuk menjaga harta bendanya. Ini bererti akan wujud pertalian amanah antara tuan punya harta dengan orang yang menjaganya. Perlantikan untuk menjaga harta ini mestilah dilakukan oleh tuan punya harta ataupun ahli keluarganya. Kegagalan orang yang menjaga untuk memulangkan semula harta itu ataupun menafikan bahawa ia telah diamanahkan untuk menjaga barangan itu bererti ia telah melakukan perbuatan perampasan dan bertanggungjawab di atas perbuatannya itu. Kesan yang sama juga terjadi sekiranya oarang yang diamanahkan itu mencampuradukkan hartanya dengan harta yang diamanahkan itu.

Di dalam sistem perbankan Islam, wadiah adalah konsep di mana tuan punya akan meletakkan wang atau barangan lain-lain untuk dijaga oleh bank. Bank kemudiannya akan meminta kebenaran daripada tuan punya tersebut untuk untuk menggunakan harta itu dan segala faedah dan risiko akibat penggunaan itu akan ditanggung oleh pihak bank. Tuan punya walau bagaimanapun bebas untuk mengeluarkan atau mengambil semula wang atau hartanya itu mengikut waktu yang disukainya.

Di Malaysia prinsip ini dikembangkan dan dinamakan wadiah yad dhamanah iaitu pengamanahan dengan jaminan. Oleh kerana wadiah merupakan suatu amanah, maka orang diamanahkan untuk menjaga harta tersebut bertindak sebagai penjamin. Penjamin ini akan menjamin untuk membayar atau memulangkan semula keseluruhan atau sebahagian daripada wang yang disimpan oleh tuan punya apabila diminta. Penyimpan tidak akan dapat sebarang bahagian keuntungan dari simpanan yang dibuatnya itu. Sungguhpun begitu, bank Islam boleh memberikan hadiah atau hibah kepada penyimpan sebagai tanda penghargaan di atas simpanannya itu.
3.2.7 Prinsip Rahn

Rahn bererti gadai atau cagar. Ia adalah suatu kontrak untuk menggadaikan harta benda dan berkuatkuasa apabila harta itu berpindah tangan kepada pemegang gadaian. Hakmilik ke atas harta yang dicagar itu masih terletak pada tuan punya asal dan tidak berpindah kepada pemegang cagaran ataupun pemegang gadaian. Permindahan hakmilik hanya berlaku di dalam keadaan seperti yang dinyatakan di dalam kontrak. Pemegang gadaian itu dipertanggungjawabkan pada harta cagaran itu mengikut mana yang terendah di antara nilai harta itu ataupun hutang yang diberikan. Sebaliknya jika harta itu hilang akibat kesalahannya, ia bertanggungjawab ke atas nilai sebenar harta itu dan bertanggungjawab memulangkan harta tersebut apabila hutang yang diberikannya itu dijelaskan oleh peminjam.

Pemegang gadaian berhak untuk menjual harta yang menjadi cagaran itu apabila hutang yang diberikan itu cukup tempoh dan menggunakan wang jualan itu bagi menjelaskan pinjaman yang diberikan. Sekiranya jumlah yang didapati dari proses penjualan harta cagaran itu masih tidak mencukupi untuk menjelaskan hutang yang ada, peminjam masih bertanggungjawab menjelaskan baki yang tetinggal itu. Sebaliknya jika terdapat lebihan, maka lebihan itu merupakan suatu amanah kepada pemegang gadaian dan perlu dikembalikan semula kepada tuan punyanya, iaitu pihak penggadai.

3.2.8 Prinsip-Prinsip Lain

Selain prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas, terdapat juga prinsip-prinsip lain yang digunakan oleh bank-bank Islam di seluruh dunia. Penggunaan prinsip-prinsip ini kadangkala tidak menyeluruh. Ada di antaranya hanya digunakan oleh bank Islam di beberapa buah negara sahaja dan ada pula digunakan di negara-negara tertentu sahaja.



Berikut adalah beberapa prinsip Syariah yang terdapat di dalam sistem perbankan Islam.

i. Bai Bithaman Ajil

Prinsip bai bithaman ajil ataupun jualan barangan tertangguh (tertunda) adalah serupa dengan prinsip murabahah. Di dalam prinsip murabahah bayaran diselesaikan ketika itu juga tetapi di dalam kes ini bayaran dibuat kemudian. Prinsip ini juga kadangkala disebut sebagai bai muazzal.

ii. Bai al-dayn

Prinsip bai al-dayn atau dagangan hutang merujuk kepada pembiayaan hutang. Di dalam prinsip ini pembiayaan dibuat berdasarkan jualbeli dokumen-dokumen perdagangan dan pembiayaan adalah digunakan bagi tujuan pengeluaran, perdagangan dan pembiayaan adalah digunakan bagi tujuan pengeluaran, perdagangan dan perkhidmatan. Hanya dokumen yang benar-benar menunjukkan bahawa perdagangan sebenarnya wujud boleh diniagakan

iii. Wakalah

Prinsip wakalah atau wakil merujuk kepada keadaan di mana seseorang melantik orang lain untuk mewakilinya di dalam sesuatu urusan.

iv. Kafalah

Kafalah bererti jaminan dan mengikut prinsip ini jaminan diberikan oleh seseorang kepada tuan punya barangan yang meletakkan barangan itu kepada pihak ketiga. Sekiranya terdapat tuntutan daripada tuan punya terhadap barangan yang diserahkannya kepada pihak ketiga tadi danpihak ketiga gagal memenuhi tuntutan itu, maka penjamin mestilah mengambilalih tanggungjawab itu dan memenuhi tuntutan tersebut.
v. Al-Ujr

Prinsip ini merujuk kepada yuran dan komisen yang dibayar oleh pelanggan bank kerana menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

vi. Al-Hiwalah

Prinsip hiwalah atau pemindahan merujuk kepada proses pemindahan wang atau hutang daripada satu pihak ke satu pihak yang lain atau dari satu akaun yang lain dan bank mendapat bayaran kerana perkhidmatan yang diberikannya.

3.3 KESIMPULAN

Dalam bab tiga ini, penulis membincangkan secara terperinci tentang prinsip-prinsip operasi perbankan Islam. Dalam sistem kewangan Islam, di antara prinsip-prinsip umum yang biasa digunakan oleh kebanyakkan bank Islam adalah Musyarakah, Mudharabah, Murabahah, Ijarah, Qard Hassan, Wadiah, al-Rahn. Di samping itu, terdapat prinsip-prinsip lain yang biasa digunakan di antaranya Bai Bithaman Ajil, Bai al-Dayn, Wakalah, Kafalah, Al-Ujr dan Al-Hiwalah. Prinsip-prinsip ini hanya digunakan oleh bank Islam di beberapa buah negara sahaja.(Rujuk rajah 2)












Rajah 2: Prinsip-Prinsip Operasi Perbankan Islam
Operasi Perbankan Islam
Prinsip-Prinsip Umum
Prinsip-Prinsip Lain
1. Musyarakah
2. Mudharabah
3. Murabahah
4. Ijarah
5. Qard Hassan
6. Wadiah
7. Rahn

1. Bai Bithaman Ajil
2. Bai al-dayn
3. Wakalah
4. Kafalah
5. Al-Ujr
6. Al-Hiwalah











Sumber : Olahan Pengkaji

Daripada perbincangan tentang prinsip-prinsip Syariah dalam pembiayaan kewangan Islam di atas, maka penulis berpandangan bahawa perbankan Islam mempunyai potensi yang lebih baik utuk menerokai bidang pembiayaan projek ini melalui instrumen-instrumen yang tidak ada dalam amalan perbankan secara konvensional. Malah perbankan Islam mempunyai potensi untuk melibatkan diri dalam projek-projek yang tidak mahu diambil oleh perbankan konvensional seperti dalam projek pertanian, perikanan dan sebagainya. Dalam falsafah hidup Islam, projek-projek yang dirancang bukan sahaja membantu ke arah perkembangan ekonomi negara tetapi juga mesti sejajar dengan falsafah kehidupan yang dituntut oleh ajaran agama yang mempunyai kesan jangka pendek dan panjang kepada aktiviti ekonomi dan sosio-budaya sesuatu masyarakat.






BAB IV

PERLAKSANAAN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD (BIMB)


4.1 PENGENALAN

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), merupakan sebuah perbankan Islam di Malaysia yang telah mengorak langkah serta memainkan peranan penting dalam perbankan Islam. Perbankan ini telah memulakan operasinya sebagai Bank Islam yang pertama di Malaysia pada 1 Julai 1983, penubuhannya adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan kewangan umat Islam di negara ini dan seterusnya kepada semua. Peranan Bank Islam ialah merealisasikan impian negara untuk mengawal serta membina satu sistem kewangan Islam yang moden dan kompetitif serta alternatif yang berdaya maju berbanding dengan sitem konvensional. Kerajaan telah memberi kepercayaan dan tanggungjawab kepada bank Islam untuk menerajui perkembangan perbankan Islam termasuklah perkembangan perkhidmatan kewangan Islam yang lain di negara ini.

Oleh sebab itulah pada 17 Januari 1992, bank Islam telah tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur sebagai salah satu institusi kewangan yang berkaliber dengan menawarkan satu senarai komprehensif yang terdiri 45 produk dan perkhidmatan yang inovatif dan canggih setanding dengan bank-bank konvensional. Malahan kejayaan Bank Islam ini telah menjadi pemangkin bagi bank-bank konvensional untuk menawarkan produk serta perkhidmatan yang berteraskan Syariah di premis konvensional itu sendiri bermula pada tahun 1993 (Mustafa Hj. Daud 1991).




4.2 MATLAMAT BANK ISLAM

Matlamat utama penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad ialah untuk berusaha sedaya upaya beroperasi sebagai bank perdagangan berlandaskan hukum syarak, memberi kemudahan dan khidmat bank kepada umat Islam. Satu intisari terpenting daripada operasi bank Islam yang berlandaskan hukum Syarak adalah perlaksanaan Muamalah Urusan Bank dan Kewangan Tanpa Riba’ (Mustafa Hj. Daud 1991).

Sebagai ganti kepada amalan riba’ yang dijalankan oleh bank biasa, maka BIMB melalui hukum yang ditetapkan oleh Syarak telah melaksanakan sistem berkongsi untung rugi bagi menjamin keadilan sosial dalam agihan untung rugi kepada penyimpan, peminjam dan pemilik saham bank.

Permulaan penubuhan BIMB mempunyai modal dibenar sebanyak RM 500 juta yang dibahagikan kepada 500 juta saham biasa yang bernilai RM 1.00 sesaham dan modal berbayar sebanyak RM 80 juta (Sheikh Ghazali 1992). Pemegang-pemegang sahamnya terdiri daripada berikut :

RM Juta
i. Kerajaan Malaysia 30
ii. Lembaga Urusan dan Tabung Haji 10
iii. PERKIM 5
iv. Majlis-Majlis Agama Negeri 20
v. Agensi-agensi Agama Negeri 3
vi. Agensi-agensi Peringkat Persekutuan 12
Jumlah 80

4.3 HUKUM DAN PERATURAN BIMB

BIMB menjalankan operasinya sebagai institusi perbankan Islam. Operasinya berlandaskan hukum Syarak atau peraturan ilmu fiqh berhubung dengan muamalat ekonomi, urusan bank dan kewangannya. Ianya juga adalah untuk menggalakkan syarikat pelaburan agar melibatkan dalam urusan perniagaan yang halal serta selari dengan kehendak Syariah. Dengan cara ini, Bank Islam dapat mengelakkan masyarakat Islam daripada aktiviti yang dianggap tidak beretika dari pandangan Islam dan dapat menghapuskan segala bentuk kezaliman, ketidakadilan, penindasan dan penyalahgunaan di dalam muamalat (http://www.bankislam.com.my).

Di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) hukum dan peraturan yang berkenaan dikaji dan diteliti oleh Majlis Pengawasan Syariahnya. Majlis ini kemudian memberi panduan kepada pengurusan dan pegawai-pegawai bank dalam tugas mereka menyusun sistem perjalanan dan operasinya dalam semua bidang kegiatannya.

Antaranya BIMB telah melaksanakan beberapa hukum fiqh yang berkenaan dengan aspek-aspek asas yang mempunyai hubungan dengan urusan bank dan kewangan seperti mana berikut :

1. Wadi’ah (al-Wadi’ah)

a. Wadi’ah adalah perjanjian antara pihak yang memiliki barang (termasuk wang) untuk menyimpan barangnya dengan pihak yang lain (termasuk bank) dengan tujuan untuk disimpan dan dijaga keselamatan.

b. Wadi’ah tanpa sebarang syarat adalah amanah (yad amanah). Dalam hal ini pihak yang menyimpan tidak bertanggungjawab ke atas kerosakan atau kehilangan barang tersebut yang bukan disebabkan oleh perbuatan atau kecuaiannya.
c. Jika sekiranya pihak yang menyimpan meminta keizinan dari pihak yang memiliki barang itu untuk menggunakan barang tersebut atau terus menggunakannya tanpa izin, maka Wadi’ah adalah jaminan (yad dhamanah). Dalam hal ini pihak yang menyimpan adalah bertanggungjawab ke atas kerosakan atau kehilangan barang simpanan berkenaan.

d. Dalam hal Wadi’ah yang berbentuk jaminan (yad dhamanah), semua manfaat dan keuntungan yang diperolehi dari penggunaan barang tersebut adalah menjadi hak pihak yang menyimpan.

2. Mudharabah (al-Mudharabah)

a. Mudharabah adalah perjanjian antara pemilik modal dan pengusaha di mana pemilik modal bersetuju membiayai sepenuhnya sesuatu projek perniagaan atau pelaburan dan pengusaha bersetuju mengusahakannya secara berkongsi untung dengan nisbah pembahagian yang dipersetujui bersama terlebih dahulu.

b. Modal hendaklah terdiri dari wang tunai yang tertentu jumlahnya.

c. Pemilik modal tidak dibenarkan mangambil bahagian dalam pengurusan projek, tetapi boleh mengawasi dan membuat susulan.

d. Pembahagian untung antara pemilik modal dan pengusaha adalah dengan cara nisbah seperti 50:50, 40:60 atau 30:70 tertakluk kepada perundingan dan persetujuan antara kedua-dua belah pihak. Penentuan nisbah ini hendaklah dimeteraikan dalam perjanjian.
e. Kerugian, jika berlaku, ditanggung kesemuanya oleh pemilik modal kecuali jika kerugian berlaku oleh sebab kecuaian, penyelewengan atau penyalahgunaan oleh pengusaha.

3. Musyarakah (al-Musyarakah)

a. Musyarakah adalah perjanjian perkongsian antara dua pihak atau lebih pemilik modal bagi menjalankan sesuatu projek perniagaan atau pelaburan di mana mereka bersama-sama bersetuju menyumbangkan modal dan berkongsi untung-rugi.

b. Modal yang disumbangkan hendaklah berupa wang atau harta benda lain yang boleh dinilaikan dengan wang. Semua modal yang disumbangkan hendaklah dicampurkan, supaya dengan percampuran ini semua modal tersebut menjadi hak projek berkenaan dan bukan lagi hak milik perseorangan pemilik-pemilik modal.

c. Pengurusan projek berkenaan boleh dilakukan oleh semua pemilik modal , ataupun oleh sebilangan daripada mereka sahaja. Jika hanya sebilangan sahaja dari pemilik-pemilik modal yang akan menguruskan projek berkenaan mereka perlu mendapat keizinan pemilik-pemilik modal yang lain untuk berbuat demikian.

d. Keuntungan adalah dibahagikan antara pemilik-pemilik modal mengikut nisbah yang telah dipersetujui antara mereka terlebih dahulu. Nisbah pembahagian keuntungan antara pemilik-pemilik modal tidak semestinya mencerminkan nisbah sumbangan modal mereka dalam projek berkenaan.

e. Kerugian, jika berlaku, hendaklah ditanggung bersama oleh pemilik-pemilik modal mengikut nisbah sumbangan modal masing-masing.

4. Jualan Dengan Tambahan Untung (al-Murabahah)

a. Jualan Dengan Tambahan untung adalah perjanjian jual-beli barang tertentu antara pemilik barang dan pembeli. Dalam proses penentuan harga barang tersebut pemilik barang menetapkan jumlah keuntungannya.

b. Dalam urusan bank biasanya pembeli memberitahu jenis barang yang dikehendakinya serta sifat-sifat barang tersebut. Bank Kemudian membeli barang tersebut.

c. barang itu seterusya akan dijualkan oleh bank kepada pembeli dengan harga yang meliputi kos asal barang tersebut beserta tambahan untung tertakluk kepada persetujuan kedua belah pihak.

d. Perjanjian jual-beli ini sah sekiranya kedua-dua belah pihak mengetahui :

i. Kos asal barang tersebut;dan
ii. jumlah untung pemilik modal.

5. Jualan Harga Tangguh (Bai’ Bithaman Ajil)

a. Jualan Harga Tangguh adalah perjanjian jual-beli barang tertentu antara pemilik barang dan pembeli di mana pemilik barang menyerahkan barang tersebut kepada pembeli dengan serta merta dan pembeli menangguhkan bayaran harga barang tersebut sehingga suatu tempoh yang tertentu atau membuat bayaran secara ansuran. Jualan Harga Tangguh adalah sebalik kepada Jualan Salam yang dihuraikan dalam 6(a) di bawah ini.

b. harga dalam Jualan Tangguh boleh ditetapkan pada paras yang lebih tinggi berbanding dengan paras harga bagi bayaran tunai. Tetapi selepas dipersetujui dan dimeterikan dalam perjanjian harga tersebut tidak boleh diubah-ubah lagi.

c. Tempoh bayaran ansuran serta banyaknya bayaran bagi satu-satu ansuran adalah terpulang kepada perundingan dan persetujuan antara pemilik barang dan pembeli.




6. Jualan Salam (Bai’ ul-Salam)

a. Jualan Salam adalah perjanjian jual-beli barang tertentu antara pemilik barang dan pembeli di mana pembeli menyerahkan bayaran harga barang tersebut dengan serta merta dan pemilik barang menagguhkan penyerahan barang tersebut sehingga suatu tempoh yang tertentu. Jualan Salam adalah sebalik kepada Jualan Harga Tangguh yang telah diterangkan di atas.

b. Barang berkenaan hendaklah disifatkan dengan nyata dan ditetapkan jumlah atau kadarnya.

c. Tempat penyerahan barang itu hendaklah ditentukan.

7. Sewaan (al-Ijarah)

a. Sewaan adalah perjanjian antara pemilik harta, sama ada yang tidak bergerak seperti tanah dan rumah atau yang bergerak seperti alat jentera dan pengangkutan, dan penyewa di mana pemilik harta membenarkan penyewa mengguna dan memperolehi manfaat dan perkhidmatan dari harta tersebut dan penyewa membayar kepada pemilik harta bayaran sewaan seperti yang dipersetujui bersama.

b. Hendaklah dijelaskan jenis dan sifat-sifat harta yang disewakan, tempoh sewaan, cara pembayaran sewa serta perkara-perkara lain yang perlu bagi mengelakkan perbalahan.

8. Sewa-jual (al-Bai’ al-Ta’jiri)

a. Sewa-jual adalah sama seperti sewaan yang telah diterangkan di atas, tetapi ditambah dengan peruntukkan bahawa pemilik harta selepas sesuatu tempoh tertentu bersetuju menjualkan terus harta tersebut pada paras harga yang dipersetujui bersama dengan diambilkira jumlah bayaran sewaan yang telah dijelaskan sebagai sebahagian dari paras harga tersebut.

b. Hendaklah dipatuhi semua syarat-syarat sewaan dan penukaran hak milik seperti yang ditetapkan oleh Syara’.

9. Upahan (al-Ijarah)

a. Upahan adalah perjanjian antara pihak yang mengambil upah dan pihak yang mengupah di mana pihak yang mengambil upah melaksanakan sesuatu khidmat dan pihak yang mengupah membayar upahan mengikut kadar yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.

b. Hendaklah dinyatakan dengan jelas sifat-sifat khidmat berkenaan, kadar upahan dan perkara-perkara lain yang berkaitan bagi mengelakkan perbalahan.

10. Wakalah (al-Wakalah)

a. Wakalah adalah perjanjian antara orang yang melantik seseorang wakil dan orang yang dilantik sebagai wakil di mana orang yang melantik memberi kuasa kepada wakil tersebut untuk melaksanakan sesuatu kerja atau tugas bagi pihaknya.

b. Hendaklah dinyatakan dengan jelas kerja atau tugas yang diwakilkan itu.

c. Wang atau harta yang diterima oleh wakil berhubung dengan kerja atau tugasnya adalah dianggap Wadi’ah selama mana wang atau harta itu berada di tangannya.
d. Wakil boleh mengumpul upahan (rujuk kepada upahan) atas khidmat perlaksanaan kerja atau tugasnya.

11. Pinjaman Kebajikan (al-Qardh ul-Hasan)

a. Pinjaman Kebajikan adalah perjanjian antara pihak yang memberi pinjaman dan pihak yang meminjam di mana pihak yang memberi pinjaman bersetuju meminjamkan kepada pihak yang meminjam satu jumlah wang yang tertentu bagi sesuatu tempoh yang dinyatakan dengan syarat-syarat bayar balik dan lain-lain perkara berkaitan yang ditetapkan, dan pihak yang meminjam diwajibkan membayar balik jumlah wang itu sahaja mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

b. Unsur utama perlaksaan Pinjaman Kebajikan ini adalah semata-mata untuk orang kaya dan berkemampuan menolong membantu orang yang miskin, lemah dan dhaif yang benar-benar memerlukan pertolongan dan bantuan.

c. Pihak yang memberi pinjaman tidak boleh meminta sebarang sumbangan dari pihak yang meminjam selain jumlah wang yang dipinjamkan, tetapi sebaliknya pihak yang meminjam disunatkan menyumbangkan kepada pihak yang memberi pinjaman lebih dari jumlah wang yang dipinjam kerana bantuan dan pertolongannya untuk meringan atau melepaskan beban yang ditanggung oleh pihak yang meminjam.

12. Gadaian (al-Rahn)

a. Gadaian adalah perjanjian antara penggadai dan pihak yang menerima gadaian di mana penggadai mengemukakan sesutau barang yang berharga sebagai cagaran/sandaran kepada pihak yang menerima gadaian untuk meyakinkan bahawa haknya dalam sesuatu hutang atau pinjaman yang diberikan tidak akan hilang sekiranya pihak yang berhutang tidak dapat menjelaskan hutangnya seperti yang dipersetujui, pihak yang menerima gadaian akan menjual barang gadaian tersebut dan harganya di ambil sekadar jumlah yang belum jelas dan bakinya dikembalikan kepada penggadai.
b. Adalah tidak boleh ditetapkan berakhirnya tempoh sesuatu gadaian kecuali bagi tempoh yang sama dengan tempoh penjelasan sepenuhnya hutang berkenaan.

13. Jaminan Hutang atau Perlaksanaan Kerja (al-Kafalah)

a. Jaminan Hutang atau Perlaksanaan Kerja adalah perjanjian antara penjamin dan pihak yang menerima jaminan di mana penjamin menerima tanggungjawab untuk menjelaskan hutang atau membayar gantirugi jika sekiranya pihak yang berhutang atau berjanji untuk melaksanakan sesuatu kerja itu gagal menunaikan tanggungjawabnya.

b. hutang yang dijamin itu hendaklah yang sah dan wajib di bayar.

4.4 PERKHIDMATAN BIMB

BIMB menawarkan beberapa jenis simpanan di bawah skim depositnya iaitu Akaun Semasa, Akaun Simpanan Wadiah, Akaun Simpanan Mudharabah, Akaun Pelaburan Am dan Akaun Pelaburan Khas. Di bawah skim perkhidmatan pembiayaan pula, BIMB melaksanakan skim pembiayaan rumah (BAITI), Pembiayaan Tanah, Pembiayaan Kedai Dan Rumah Kedai, Pembiayaan Umrah dan Ziarah, Pembiayaan Kenderaan dan sewaan Peralatan Mesin. Melalui Skim Perdagangan pula, BIMB mengeluarkan Surat Kredit, Surat Jaminan, Pembiayaan Modal Kerja (Murabahah), Bil Penerimaan Islam-Import, Bil Penerimaan Islam-Eksport dan skim Pembiayaan Semula Kredit Eksport.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh BIMB ialah dengan melaksanakan Pembayaran Zakat (Kuala Lumpur dan selangor sahaja), Kiriman Wang, Jual-beli Matawang Asing, Jual-beli Cek Kembara, Pengurusan pelaburan atau Portfolio dan Penjualan Resit Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YPEIM) (Bank Islam 1996).

Pertumbuhan perbankan Islam yang dipelopori BIMB ini begitu memberansangkan kerana jumlah institusi kewangan lain yang menawarkan sistem ini semakin bertambah. Sehingga akhir bulan Julai 1997, sebanyak 24 bank perdagangan, 22 syarikat kewangan dan 3 bank saudagar menawarkan perkhidmatan di bawah Skim Perbankan Tanpa faedah (SPTF). Malah, institusi SPTF yang layak adalah dibenarkan untuk menubuhkan cawangan perbankan Islam sepenuhnya (Siti fatimah Abdul Rahman, Haniza Ibrahim 1994).

4.5 OPERASI PERBANKAN BIMB

Operasi perbankan yang dijalankan oleh BIMB di antaranya ialah deposit pelanggan, pembiayaan dan pembiayaan perdagangan.

4.5.1 Deposit Pelanggan

Produk operasi bank Islam ini juga dikenali sebagai sumber dana iaitu sumber-sumber wang atau dana yang diterima oleh BIMB daripada orang perseorangan, syarikat-syarikat dan institusi (Mohd Azmi Omar 1992). Antara sumber dana tersebut iaitu Akaun Semasa, Akaun Simpanan Wadiah, Akaun Pelaburan Am, Akaun Pelaburan Khas Dan Akaun Simpanan Mudharabah.

1. Akaun Semasa

a. Bank menerima deposit daripada penyimpan yang inginkan penjagaan selamat dan kemudahan penggunaan wang mereka dalam bentuk Akaun Semasa di bawah prinsip al-wadiah.

b. Bank meminta keizinan penyimpan untuk menggunakan wang mereka selama mana wang itu tersimpan dengannya.

c. Penyimpan berhak mengeluarkan sebahagian atau semua baki simpanan pada masa mereka kehendaki dan dalam hal ini bank memberi jaminan untuk mengembalikan baki tersebut. Semua keuntungan daripada penggunaan dana tersebut adalah menjadi hak bank. Bank memberi Buku Cek dan perkhidmatan lain yang berhubung dengan akaun semasa kepada penyimpan. Baki purata simpanan harian yang kurang daripada RM 500.00 akan dikenakan bayaran perkhidmatan sebanyak RM 10.00 setiap setengah tahun pada akhir bulan Jun dan Disember.

2. Akaun Simpanan Wadiah

a. Bank menerima deposit daripada penyimpan yang inginkan penjagaan selamat dan kemudahan penggunaan wang mereka dalam bentuk Akaun Simpanan di bawah prinsip al-wadiah.

b. Bank meminta keizinan penyimpan untuk menggunakan wang mereka selama mana wang itu tersimpan dengannya.

c. Penyimpan berhak mengeluarkan sebahagian atau semua baki simpanan pada bila masa mereka kehendaki dan dalam hal ini bank memberi jaminan untuk mengembalikan baki tersebut. Semua keuntungan daripada penggunaan baki dana tersebut adalah menjadi hak bank.

d. Bank boleh mengikut budi bicaranya memberikan sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi daripada penggunaan baki Akaun Simpanan kepada penyimpan berkenaan dari masa ke semasa.


e. Bank memberi buku simpanan dan khidmat biasa lain yang berkaitan dengan akaun simpanan kepada penyimpan.

3. Akaun Pelaburan Am

a. Bank menerima wang daripada pelanggan yang ingin melaburkan wang di dalam bentuk Akaun Pelaburan Am berasaskan prinsip al-Mudharabah.

b. Pelaburan hendaklah dibuat di dalam tempoh tertentu. Bank menerima deposit bagi tempoh-empoh berikut :
- 1 bulan
- 3 bulan
- 6 bulan
- 12 bulan
- 15 bulan
- 18 bulan
- 24 bulan
- 36 bulan
- 48 bulan
- 60 bulan ke atas

c. Mengikut kaedah Syariah, Bank bertindak sebagai pengusaha dan pelanggan sebagai pemilik modal. Kedua-duanya bersetuju membahagikan keuntungan yang diperolehi dari usaha Bank melaburkan wang berkenaan. Pada masa ini Bank menawarkan nisbah pembahagian untung pada kadar 70% kepada pelanggan dan 30% kepada bank. Nisbah pembahagian bentuk ini boleh diubah oleh Bank dari masa ke semasa.

d. Jika pelaburan tersebut mengalami kerugian, pelanggan akan menaggung kerugian tersebut.

e. Pelanggan tidak mencampuri di dalam pengurusan pelaburan wang tersebut.

4. Akaun Pelaburan Khas

Bank juga mnerima deposit di dalam bentuk Akaun Pelaburan Khas daripada pelanggan dari sektor kerajaan dan korporat yang terpilih. Akaun ini juga beroperasi di bawah prinsip al-Mudharabah tetapi cara pelaburan modal serta nisbah pembahagian untungnya boleh dirunding dengan setiap pelanggan.

5. Akaun Simpanan Mudharabah

Akaun ini merupakan akaun pelaburan yang diubahsuai sebagai akaun simpanan dan diuruskan di bawah prinsip al-Mudharabah. Di samping pulangan pelaburan dan kemudahan pengoperasian akaun simpanan, pelanggan juga mendapat manfaat Pelan Takaful Keluarga Berkelompok. Di bawah ini, pelanggan diberi perlindungan selama 24 jam sehari di seluruh dunia jiak berlaku kematian.

4.5.2 Pembiayaan (Bank Islam 1996)

Bank boleh mengambil bahagian memberi pembiayaan untuk projek pelanggan atau tujuan mendapatkan aset melalui pelbagai cara berdasarkan prinsip Syariah. Pada masa kini Bank menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pelanggan berlandaskan prinsip syariah.




Operasi ini boleh juga dinamakan sebagai kegunaan dana Bank Islam adalah seperti berikut :

i. Al-Mudharabah
ii. Al-Musyarakah
iv. Al-Bai’ Bithaman Ajil
v. Al-Ijarah
vi. Al-Ijarah Thumma al-Bai’
vii. Al-Qardh al-Hasan

1. Pembiayaan projek di bawah prinsip al-Mudharabah

a. Bank boleh memberi pembiayaan untuk projek yang diterima di bawah prinsip al-Mudharabah.

b. Bank sebagai pemilik modal akan menyediakan 100% pembiayaan untuk projek tersebut.

c. Pelanggan sebagai pengusaha akan menguruskan projek tersebut. Pihak Bank tidak boleh mencampuri pengurusan projek tetapi boleh mengawasi dan membuat susulan.

d. Kedua-dua pihak secara rundingan bersetuju mengenai nisbah pembahagian ke atas keuntungan yang diperolehi daripada projek tersebut jika ada.

e. Jika berlaku kerugian, ditanggung sepenuhnya oleh Bank.

2. Pembiayaan projek di bawah prinsip al-Musyarakah

a. Bank boleh memberi pembiayaan untuk projek yang diterima di bawah prinsip al-Musyarakah.
b. Bank dan pelanggan bersama-sama menyumbangkan pembiayaan untuk projek pada nisbah yang dipersetujui.

c. Semua pihak termasuk Bank, berhak megambil bahagian di dalam pengurusan projek. Walau bagaimnapun semua pihak mempunyai pilihan untuk tidak berbuat demikian.

d. Semua pihak, secara rundingan bersetuju mengenai nisbah pembahagian ke atas keuntungan yang diperolehi daripada projek tersebut jika ada. Nisbah pembahagian tidak semestinya sama dengan nisbah penyertaan di dalam pembiayaan projek.

e. Jika berlaku kerugian ditanggung bersama oleh semua pihak mengikut nisbah sumbangan mereka dalam pembiayaan.

3. Pembiayaan memiliki harta di bawah prinsip al-Baithaman Ajil

a. Bank boleh memberi pembiayaan kepada pelanggan yang ingin dimiliki sesuatu harta tetapi menangguhkan bayarannya untuk satu tempoh yang tertentu atau menjelaskan secara ansuran di bawah prinsip al-Bai’ Bithaman Ajil.

b. Bank akan mnentukan keperluan pelanggan dari segi tempoh dan cara bayaran.

c. Bank membeli harta yang dikehendaki pelanggan.






d. Bank kemudiannya menjual harta tersebut kepada pelanggan dengan harga yang dipersetujui oleh kedua belah pihak meliputi:

i. Kos asal harta tersebut yang ditanggung oleh bank; dan

ii. Tambahan untung bank dan membenarkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran di dalam tempoh dan cara yang dipersetujui.

4. Pembiayaan khidmat penggunaan di bawah prinsip al-Ijarah

a. Bank boleh memberi pembiayaan kepada pelanggan untuk tujuan mendapatkan penggunaan manfaat sesuatu harta di bawah prinsip al-Ijarah (sewa pajak).

b. Bank terlebih dahulu membeli harta yang hendak digunakan oleh pelanggan.

c. Bank kemudiannya menyewakan harta tersebut kepada pelanggan mengikut tempoh, kadar sewaan serta syarat-syarat lain yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.

5. Pembiayaan penggunaan dan seterusnya pemilikan harta di bawah prinsip al-Ijarah Thumma al-Bai’

a. bank boleh memberi pembiayaan kepada pelanggan yang pada awalnya ingin mendapatkan penggunaan sesuatu harta tersebut di bawah prinsip al-Ijarah Thumman al-Bai’ (sewa dan kemudian beli).

b. Prosedurnya adalah sama seperti pembiayaan khidmat penggunaan harta di bawah prinsip al-Ijarah kecuali kedua-dua pihak bersetuju bahawa di akhir tempoh sewaan, pelanggan akan membeli harta tersebut pada harga yang dipersetujui dengan mengambil kira jumlah sewa yang dibayar sebelumnya.

6. Al-Qardh al-Hassan : Memenuhi tanggungjawab sosial

a. Bank boleh menggunakan bahagian tertentu yang wajar daripada dananya untuk tujuan memenuhi tanggungjawab sosial melalui pinjaman kepada pelanggan yang benar-benar memerlukan di bawah prinsip al-Qardh al-Hasan (pinjaman ihsan).

b. Sebagai sokongan dan pertolongan, pinjaman boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan untuk menjalankan projek ekonomi yang bermanafaat.

c. Peminjam mengikut prinsip Syariah hanya wajib membayar semula jumlah pokok yang dipinjam berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui.

d. Bank tidak boleh menerima peminjam membayar lebih daripada amaun yang dipinjam. Walau bagaimanapun mengikut Syariah peminjam digalakkan berbuat demikian mengikut budi bicaranya sendiri.

4.5.3 Pembiayaan Perdagangan (Bank Islam 1996)

Bank boleh memberikan kemudahan tertentu atau pembiayaan kepada pelanggan yang kebanyakkannya berbentuk jangka pendek untuk tujuan perdagangan atau modal pusingan. Kemudahan atau pembiayaan dikeluarkan ke atas pembelian atau import dan penjualan atau eksport barangan dan mesin, stok dan bekalan, alat gantian, bahan mentah dan barang separuh siap.



Di antara kemudahan atau pembiayaan yang disediakan ialah :-

a. Surat kredit di bawah prinsip al-wakalah, al-Musyarakah dan al-Murabahah.

b. Surat jaminan.

c. Pembiayaan modal kerja di bawah prinsip al-Murabahah.

d. Persekuritian dan bil penerimaan Islam (IAB-Import).

e. Persekuritian dan pembiayaan eksport (IAB-Eksport).

f. Pembiyaan semula kredit eksport.

Di samping kemudahan-kemudahan dan khidmat-khidmat yang telah dijelaskan di atas, bank Islam juga menyediakan perkhidmatan lain yang biasa disediakan oleh bank-bank perdagangan di bawah pelbagi prinsip Syariah. Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan ialah:

a. Kiriman wang.

b. Jual beli-beli mata wang asing.

c. Jual-beli cek kembara.

d. Pelaburan atau pengurusan portfolio.

e. Khidmat pemegang amanah (trustee) dan khidmat syarikat penama (nominee company).



4.6 KESIMPULAN

Dalam bab empat ini, telah dibincangkan berkaitan perlaksanaan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai salah sebuah institusi kewangan Islam di Malaysia. Sebagai sebuah institusi yang bertunjangkan kepada Syariah Islam, semua operasi perbankan yang dijalankan adalah mengikut prinsip-prinsip operasi perbankan Islam. Di antara operasi-operasi yang dijalankan oleh BIMB termasuklah deposit pelanggan, pembiayaan dan pembiayaan perdagangan.(Rujuk rajah 3).

Secara kesimpulannya, semua perkhidmatan yang digunakan atau ditawarkan oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) adalah selari serta mengikuti peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh Syariah. Dengan itu, ianya bersesuaian dengan hasrat BIMB yang mana tujuan penubuhannya adalah untuk menjadi sebuah perbankan Islam yang pertama dan menjadi perintis kepada penubuhan institusi-institusi kewangan lain seperti Tabung Haji, Takaful dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat). Di samping itu, sistem riba yang diamalkan sebelum ini di bank-bank konvensional telah dapat dihapuskan dan ianya memberi keadilan serta kemudahan kepada umat Islam di negara kita.














Rajah 3 : Operasi Perbankan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)

BIMB
Pembiayaan

1 Al-Mudharabah
Al-Musyarakah
Al-Bai Bithaman Ajil
Al-Ijarah
Al-Ijarah Thumma al-Bai’
Al-Qard al-Hasan
Pembiayaan Perdagangan

1. Surat Kredit di Bawah Prinsip Al-Wakalah, Al-Musyarakah dan Al-Murabahah
2. Surat Jaminan
3. Pembiayaan Modal Kerja di Bawah Prinsip Al-Murabahah
4. Pensekuritian dan Bil Penerimaan Islam (IAB-Import)
5. Pensekuritian dan Pembiayaan Eksport (IAB-Eksport)
6. Pembiayaan Semula Kredit Eksport


Operasi Perbankan
- Syariah Islam










Perkhidmatan Lain

Kiriman wang
Jual-Beli Mata Wang Asing
Jual-Beli Cek Kembara
Pelaburan atau Pengurusan Portfolio
Khidmat Pemegang amanah dan Khidmat Syarikat Penama
Deposit Pelanggan

Akaun Semasa
Akaun Simpanan Wadiah
Akaun Pelaburan Am
Akaun Pelaburan Khas
Akaun Simpanan Mudharabah













Sumber : Olahan Pengkaji





BAB V


KESIMPULAN DAN CADANGAN


5.1 KESIMPULAN

Berdasarkan penulisan latihan ilmiah ini dipermulaanya, kajian ini telah dibuat mengenai konsep sistem kewangan Islam dan bagaimana Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mengamalkan instrumen-instrumen kewangan yang di syariatkan oleh Islam. Jelas disini bahawa perbezaan antara sistem kewangan Islam dengan sistem kewangan konvensional adalah bertitik tolak daripada sudut falsafah dan etika itu sendiri. Sistem kewangan Islam wujud berasaskan kepada prinsip-prinsip dan falsafah Islam kerana sistem kewangan Islam adalah juga sebahagian dari Islam itu sendiri. Sistem kewangan konvensional yang berasaskan kapitalis, memisahkan agama dengan lain-lain urusan kehidupan. Sistem kewangan konvensional menegaskan kebebasan mutlak seseorang. Setiap orang adalah tuan punya hartanya, berhak sepenuhnya atas hasil daripada harta tersebut dan berhak pula membuat sesuka hati atas harta dan hasil itu. Prinsip ini berkisar atas dasar keuntungan peribadi sebagai matlamat, persaingan sebagai cara dan kebebasan sebagai syarat. Sebaliknya dalam sistem kewangan Islam, manusia adalah khalifah Allah di bumi. Sebarang pemilikan harta oleh manusia hanyalah merupakan amanah semata-mata bukanya milik mutlak. Keputusan-keputusan kewangan yang dibuat oleh seseorang individu atau syarikat dalam sistem kewangan Islam semestinya berlandaskan kepada panduan yang telah ditentukan oleh agama Islam dan bukannya kepentingan diri semata-mata.

Ciri terpenting sistem kewangan Islam ialah pengharaman mutlak pembayaran dan penerimaan bunga. Dalam erti kata lain, ketiadaan unsur kadar bunga atau riba dalam sistem tersebut. Konsep yang popular bagi sistem ekonomi dan kewangan Islam dan
yang membezakannya dengan sistem-sistem ekonomi dan kewangan lain ialah kerana ia mengharamkan bunga. Teras bagi sistem ini adalah penghapusan bunga secara total dalam semua urusan walau dalam bentuk apa sekalipun di samping kepatuhan sepenuhnya kepada hukum-hukum mu’amalah Islam. Bahkan mengikut sesetengah penulis, sistem kewangan Islam itu bukanlah semata-mata bertujuan menghapuskan amalan riba malah meliputi keseluruhan prinsip keadilan sosial dan memperkenalkan undang-undang , amalan, prosedur dan instrumen yang membantu dan mengukuhkan prinsip keadilan dan kesamarataan. Sungguhpun Islam mengharamkan bunga tetapi sebagai gantinya dibenarkan perkongsian untung. Keperluan asas bagi sistem perbankan Islam adalah dengan menggantikan bunga dengan untung ke atas aktiviti sebenar atau kadar pulangan ke atas aktiviti tersebut sebagai mekanisme atau alat bagi memperuntukkan sumber-sumber kewangan. Oleh itu perkongsian risiko dan insentif adalah menjadi perkara pokok dalam sistem perbankan dan kewangan Islam.

Untuk menjawab persoalan sama ada riba menurut al-Quran dan bunga dalam ekonomi konvensional itu sama atau serupa, seseorang itu perlulah memahami pengertian riba daripada perspektif sejarahnya yang betul. Walau apa pun tanggapan mengenai sejarah kewujudan riba, namun apa yang pasti riba memang sudah lama bertapak dalam sejarah tamadun manusia. Ia lahir daripada kegiatan ekonomi manusia semenjak mereka mengenali pertukaran dalam sistem ekonomi mereka. Sebelum manusia mengenali wang, persoalan riba tidak pernah berbangkit kerana mereka berurusan secara sistem barter (Sabiq 1971). Kemunculan wang dalam aktiviti ekonomi manusia yang pada peringkat permulaannya dijadikan sebagai alat untuk membiakkan harta kekayaan seseorang. Apabila fungsi wang tersebut lebih dititik-beratkan sebagai cara pengumpulan harta maka fungsi bunga (riba) semakin menjadi penting dalam kehidupan manusia. Sekalipun mungkin wujud sebarang perbezaan antara bunga dan riba, namun ia hanyalah dari segi darjahnya sahaja bukan dari segi jenisnya kerana kedua-dua riba dan bunga mewakili lebihan ke atas modal yang dipinjamkan. Menamakan riba itu dengan bunga tidak akan mengubah ciri-ciri yang ada pada kedua-duanya kerana bunga merupakan ibarat kepada riba sama ada pada ciri-cirinya mahupun pada hukumnya mengikut syariah Islam.

Perbankan Islam yang ditubuhkan di Malaysia pada 1 Julai 1983 iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), menjadikan Malaysia satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan sistem perbankan Islam yang beroperasi selari dengan sistem perbankan konvensional. Sumbangan terbesar Malaysia dalam bidang perbankan Islam ialah memperkenalkan kepada dunia satu cara perlaksanaan sistem perbankan Islam yang unik, iaitu dual system of banking atau lebih dikenali dengan dual System. Satu aspek menarik dalam model Malaysia ini ialah prasarana perbankan yang sama, termasuk jaringan cawangan-cawangan yang sama, digunakan bagi menawarkan dua bentuk kemudahan perbankan iaitu menawarkan kemudahan perbankan Islam disamping menawarkan kemudahan perbankan konvensional.

Penubuhan Bank Islam menjadi pelopor ke arah menerapkan syiar Islam dalam sistem kewangan dan ekonomi negara. Kewujudannya merupakan satu kejayaan peringkat pertama bagi umat Islam negara ini. Tetapi kejayaan peringkat kedua menjadi satu cabaran yang lebih penting iaitu kejayaan sebenar bank dari segi semua aspek perlaksanaan.

Oleh itu dapatlah kita lihat bahawa instrumen-instrumen perbankan yang dijalankan oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) seperti al-Wadi’ah yang merupakan satu prinsip pengamanahan yang mana BIMB telah memberikan hadiah kepada para penyimpan dan ianya tidak ada sebarang unsur riba, al-Mudharabah di mana ianya adalah satu prinsip perjanjian yang melibatkan dua pihak iaitu di antara pelabur dan pengusaha yang mana prinsip ini menyatukan dua komponen utama iaitu kewangan dan tenaga manusia, al-Musyarakah iaitu suatu perjanjian usahasama di antara dua pihak untuk menjalankan aktivti perniagaan tertentu dengan tujuan mendapatkan keuntungan yang mana keuntungan atau kerugian telah ditetapkan terlebih awal dan tidak semestinya berdasarkan jumlah modal yang disumbang oleh pekongsi tersebut, al-Bai’Bithaman ajil iaitu satu prinsip perjanjian jual beli barang tertentu antara pemilik barang dan pembeli di mana dalam proses penentuan harga barang tersebut pemilik barang menetapkan jumlah keuntungannya, al-Bai’ul-Salam yang merupakan perjanjian jual beli barang tertentu antara pemilik barang dan pembeli di mana pembeli menyerahkan bayaran harga barangan itu secara serta merta dan pemilik barang menangguhkan penyerahan barang tersebut sehingga satu tempoh yang tertentu, al-Ijarah pula adalah satu prinsip penyewaan di mana ianya adalah berdasarkan waktu yang mana tempoh hendaklah dinyatakan dengan jelas dan mestilah sesuatu yang munasabah, al-Bai’al-Ta’jiri yang mana ianya sama dengan prinsip al-Ijarah tetapi apa yang berbeza ialah pemilik harta selepas sesuatu tempoh tertentu bersetuju menjualkan terus harta tersebut dengan kadar harga yang telah dipersetujui, al-Wakalah iaitu perjanjian di antara orang yang melantik seseorang wakil dan orang yang dilantik itu adalah sebagai wakil untuk melaksanakan sesuatu kerja bagi pihak orang yang melantik, al-Qardh ul-Hasan yang mana ianya adalah prinsip pinjaman kebajikan di mana peminjam hanya perlu membayar jumlah yang dipinjamnya sahaja di samping tujuan pinjaman yang dibuat itu adalah untuk keadilan sosial dan ekonomi, al-Rahn iaitu satu prinsip gadaian dan juga al-Kafalah yang merupakan satu perjanjian di antara penjamin dan pihak yang menerima jaminan di mana penjamin menerima tanggungjawab untuk menjelaskan hutang atau gantirugi jika pihak yang berhutang gagal menunaikan tanggungjawabnya.

Kesemua prinsip-prinsip tersebut adalah menepati dan selaras dengan apa yang digariskan dalam suatu sistem kewangan Islam mengenai prinsip-prinsip operasi perbankan Islam. Ini adalah kerana instrumen-instrumen yang ditawarkan itu bebas daripada unsur-unsur riba yang bercanggah dengan syariat Islam. Di samping itu, ianya juga bebas dari unsur-unsur penindasan oleh satu pihak terhadap satu pihak yang lain. Apa yang jelas dan nyata dapat dilihat disini ialah amalan yang dijalankan oleh BIMB banyak memberi kemudahan, menepati serta tidak membebankan mana-mana pihak.

Bank Islam yang berdasarkan hukum dan peraturan Syariah dalam urusniaganya membuatkan ianya berbeza dengan prinsip urusniaga bank-bank riba yang sedia ada. Oleh itu Bank Islam menjadi alternatif kepada umat Islam yang ingin menjahui diri dari unsur riba dan disamping itu Bank Islam akan dapat menarik sumber-sumber kumpulan wang yang baru yang masih berada di luar sistem kewangan sekarang.

Kejayaan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bukan sahaja untuk bank atau ekonomi negara tetapi kejayaannya juga berkait rapat dengan masa depan orang-orang Islam dan agama Islam. Jika bank ini gagal maka kepercayaan bahawa agama Islam adalah sesuai untuk semua zaman dan tamadun akan lumpuh. Seterusnya ini akan membawa fikiran bahawa Islam itu tidak sesuai dengan kemajuan moden.

Oleh itu Bank Islam hendaklah menjadikan dirinya sebagai alat untuk menyediakan perkhidmatan masyarakat selari dengan nilai-nilai akhlak dan ajaran Islam. Mekanisma faedah (riba) dalam pinjaman dan penyimpanan adalah dilarang sekeras-kerasnya. Di samping membiayai projek-projek haram seperti Kasino, kelab malam, ternakan babi dan lain-lain maksiat lagi. Sebaliknya Bank Islam hendaklah menonjolkan penglibatannya terhadap ajaran Islam dan tidak seharusnya menganggap sebagai perantaraan bagi institusi kewangan sahaja.

Penaja instrumen-instrumen perbankan Islam harus peka dengan suasana dan proses perjalanan dan falsafah perbankan konvensional. Di Malaysia, sistem perbankan dualisme memperlihatkan penggunaan kadar bunga sebagai harga kredit. Perubahan kadar bunga serba sedikit akan membuat pelanggan bank beralih haluan simpanan dan pembiayaan masing-masing. Apabila membentuk produk baru, penaja instrumen perbankan Islam harus mengambil kira faktor ini kerana masyarakat di sini diberikan kebebasan menggunakan apa jua instrumen perbankan yang ada. Oleh yang demikian mereka yang rasional akan memilih firma-firma bank yang berupaya menjanakan pulangan yang tertinggi dengan risiko yang paling rendah. Ini memerlukan penaja instrumen Islam mempastikan ianya tidak menerima akibat buruk hasil dari pergerakan kadar bunga yang tidak menentu. Ingin diingatkan bahawa hampir kesemua instrumen pembiayaan perbankan Islam hari ini berbentuk apa yang dikatakan “fixed rate asset (FRA)” manakala semua instrumen deposit berbentuk “variable rate lialibility (VRL)”. Al-bai-bithaman ajil (BBA) dan al-ijarah thumma al-bay’ (AITAB) mempunyai harga jualan yang tidak boleh diubah, maka sekiranya berlaku peningkatan kadar bunga, peminjam akan membayar lebih manakala firma perbankan Islam tidak boleh berbuat demikian lalu mengalami kerugian kerana terpaksa membayar hibah yang lebih tinggi untuk menarik atau mempastikan pelanggan tidak memindahkan simpanan ke dalam perbankan konvensional.

Apabila kadar bunga turun, pelanggan bank menerima manfaat kerana pembayaran ansuran akan berkurangan, tetapi perbankan Islam masih mengutip bayaran yang sama yang lebih tinggi daripada jumlah yang dibayar oleh pelanggan bank konvensional. Kerumitan untuk bertindak inilah yang memperlihatkan satu kelemahan perbankan Islam yang berintensifkan BBA dan AITAB. Ini bermakna, sah atau halalnya sesuatu instrumen perbankan itu, tidak bermakna ianya berupaya menjanakan kesan dan implikasi ekonomi yang adil kepada pelanggan dan juga kepada prestasi firma perbankan Islam itu sendiri. Ini menjelaskan bahawa penekanan kepada aspek Fiqh sahaja tidak memadai bagi memastikan keadilan ekonomi menerusi urusniaga perbankan. Sama penting ialah faktor Usuluddin, teologi, dan tasawuf kerana inilah di antara lain sumber motivasi utama manusia ke arah pencapaian satu tahap kecekapan yang diberkati Allah S.W.T, sama ada ini melibatkan firma perbankan atau pun firma bukan perbankan.
















5.2 CADANGAN

Penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) merupakan kejayaan umat Islam di negara ini. Ia bukan sahaja menjadi satu sistem alternatif kepada sistem kewangan negara ini tetapi yang lebih penting ialah ia dapat memenuhi hukum-hukum Islam yang mengharamkan riba. Kewujudan Bank Islam di negara yang tidak mengamalkan hukum Islam sebenar-benarnya memang menghadapi banyak rintangan dan masalah bagi menuruti setiap model yang telah ditetapkan. Justeru itu perlaksanaan dan strategi BIMB perlu dibuat berhati-hati kerana rintangan tersebut sering mendorong BIMB keluar dari dasar-dasar Islam.

Sebarang kelemahan memang tidak dapat dielakkan kerana mereka yang arif dalam bidang ekonomi dan bank sebaliknya mereka yang cekap dan terlatih dalam ekonomi dan banking tidak begitu tinggi pengetahuan agamanya. Namun begitu BIMB mestilah berusaha meminimunkan kelemahan seterusnya menonjolkan keupayaan Islam mentadbir sistem kewangan di samping menjadi contoh kepada bank perdagangan yang lain. Ini dapat diwujudkan melalui perkhidmatan yang cekap dan kemahiran kakitangan yang cukup terlatih dan beramanah.

Aktiviti BIMB mestilah menyeluruh dan aktif. Bank tidak sepatutnya mementingkan keuntungan semata-mata tetapi juga harus memikirkan soal kebajikan sosial masyarakat. Walaupun Bank mendapat tekanan daripada para penyimpannya supaya memaksimunkan keuntungan namun soal-soal keadilan sosial dan agihan pendapatan mestilah diambil kira. Ini kerana kita kuatir sekiranya satu-satu golongan mendapat keuntungan sebaliknya golongan yang lain merasa tertindas dan mengalami kerugian. Justeru itu, sebarang kontrak yang berunsur penindasan dan keuntungan berlebihan seperti Al-Bai Bithaman Ajil yang diamalkan sekarang ini perlu dikaji semula.




Akhirnya penulis menaruh harapan penuh bahawa BIMB akan terus mencapai kejayaan dan berjaya mengatasi segala kelemahannya dengan berkesan. Sesungguhnya kejayaan BIMB bererti kejayaan umat Islam dan secara tidak langsung menjadi contoh kepada institusi perbankan dan kewangan Islam yang lain.